Terkini | New

Kedai Emas Sri Semantan Raikan Malam Untukmu Gaza Dan The Helmis Dilantik Duta Syiling Emas Khas

Kedai Emas Sri Semantan Raikan Malam Untukmu Gaza Dan The Helmis Dilantik Duta Syiling Emas Khas


Sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin, Kedai Emas Sri Semantan (KESS) akan menganjurkan “Malam Untukmu Gaza – Kilauan Semantan, Harapan Gaza” pada 24 Oktober ini, Jumaat jam 9 malam bertempat di perkarangan KESS Cawangan Jengka, Pahang sempena pembukaan cawangan ketiga ini.



Majlis itu juga turut menyaksikan pelancaran syiling emas khas edisi ‘Untukmu Gaza’ serta pelantikan pasangan artis dan aktivis kemanusiaan, The Helmis yang terdiri daripada Heliza Helmi dan Hazwani Helmi sebagai duta rasmi syiling emas khas KESS.



Ketua Pegawai Eksekutif KESS, Mohd Hafizal Haji Mahmood berkata, pelantikan The Helmis sebagai duta rasmi mencerminkan komitmen syarikat untuk menggabungkan elemen keusahawanan dan kemanusiaan dalam satu platform yang memberi manfaat kepada masyarakat. Kami percaya keindahan rezeki bukan hanya pada hasil keuntungan, tetapi sejauh mana ia mampu memberi makna kepada orang lain. Syiling ‘Untukmu Gaza’ ini bukan sekadar produk emas, tetapi satu simbol perpaduan dan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan saudara kita di Gaza.




“Kami juga ingin menjadiikan program ini bukan sekadar majlis hiburan atau pelancaran produk semata-mata, tetapi sebagai platform menyemai rasa cinta dan empati terhadap perjuangan rakyat Palestin. Harapnya akan timbul kesedaran pada generasi muda bahawa kemakmuran dan keamanan yang kita nikmati hari ini sepatutnya digunakan bagi membantu mereka yang tertindas,” katanya semasa sidang media di Saloma KL.

Beliau berkata, sebahagian hasil jualan daripada syiling khas itu akan disalurkan kepada rakyat Palestin melalui kerjasama dengan NGO Cinta Salam Malaysia, yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Salam Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, salah seorang peserta Sumud Nusantara Flotilla.

Antara pengisian pada malam tersebut, termasuk solat hajat, persembahan qasidah, persembahan istimewa Raihan, Mawi, The Helmis, Dr Sam Rasputin dan sumbangan khas untuk tabung kemanusiaan Gaza.



KESS turut menegaskan bahawa inisiatif ‘Untukmu Gaza’ akan diteruskan di semua cawangan mereka di seluruh negara, sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat terhadap perjuangan kemanusiaan global.

Heliza Helmi pula berkata, beliau dan Hazwani akan berkongsi kisah perjalanan misi dan menyampaikan lagu baharu mereka, ‘Mengukir Takdir’.

“Insya-Allah, kami akan bercerita tentang perjalanan misi kemanusiaan dan semangat rakyat Palestin yang menjadi inspirasi kepada kami. Lagu Mengukir Takdir ini dirakamkan sebelum kami berangkat ke misi tersebut, dan kisah di sebaliknya benar-benar menyentuh hati kami.

"Alhamdulillah adik-beradik Tuan Musa (termasuk Nadir Al-Nuri) ini memang mudahlah untuk kita berurusan, mendapatkan sumbangan dan sebagainya. Kerjasama yang sangat hebat dan kami akan terus bekerjasama dengan Kedai Emas Seri Semantan. Apa yang kita boleh buat adalah berkongsi cerita dan pengalaman berkenaan dengan Palestin dan harapan kami mereka pula akan memberikan sumbangan kepada Palestin, Insya-Allah,” katanya.



Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Salam Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, yang turut bersama dalam misi kemanusiaan, menzahirkan penghargaan. “Apabila sebuah jenama seperti Kedai Emas Sri Semantan sendiri menganjurkan Malam Untukmu Gaza, ia membuktikan bahawa kesedaran sudah menyebar luas hingga ke akar masyarakat.



“Inisiatif seperti yang dijalankan KESS memberi kesan besar dalam membina kesedaran dan empati masyarakat terhadap penderitaan rakyat Gaza. Saya sendiri bersama rakan-rakan artis seperti Ardell, Haroq, PU Rahmat dan Zizi Kirana pernah terlibat dalam misi Sumud Nusantara Flotilla. Kehadiran mereka bukan sekadar simbolik, tetapi strategi untuk membawa kisah kemanusiaan ini lebih dekat kepada hati rakyat Malaysia.


“Apabila ada rakyat Malaysia, khususnya artis, yang berkongsi kisah mereka merindukan keluarga dan merasai bahaya dalam misi itu, ia membangkitkan empati yang luar biasa di seluruh negara. Dan malam ini, saya lihat semangat itu diteruskan oleh KESS melalui pelancaran ini,” katanya.

Majlis “Malam Untukmu Gaza – Kilauan Semantan, Harapan Gaza” akan dirasmikan YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang.