Lagu Ikonik “sampai Hati” Menemui Nafas Baharu Selepas 33 Tahun
Lagu Ikonik “sampai Hati” Menemui Nafas Baharu Selepas 33 Tahun
Menghubungkan Generasi Lama Dan Baharu Melalui Lagu Yang Tidak Lapuk Dek Zaman
Lagu Sampai Hati nyanyian kumpulan Spring yang diterbitkan pada tahun 1992 adalah sebuah penanda aras positif kepada penyanyi berkumpulan dalam generasinya sekitar awal 90-an selepas ia mencipta sejarahnya sendiri hingga mengangkat kumpulan yang dianggotai lima anak muda itu antara ‘paling laris’ ketika itu.
Selain tersenarai dalam kedudukan tertinggi kesemua carta utama radio tempatan ketika itu, Sampai Hati juga telah meletakkan Spring dan Ameng selaku vokalis utamanya sebagai jenama yang cukup terkenal dalam arena muzik Malaysia. Lagu ciptaan komposer M. Nasir dengan lirik indah hasil nukilan Mama Juwie ini turut menembusi pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-8 dalam kategori Balada serta Pujaan 10 Nescafe pada tahun sama.
Justeru, selari dengan pencapaian dan fenomena yang pernah dicetuskan 33 tahun lalu, Sony Music Malaysia berbesar hati untuk membawa kembali nostalgia itu sekaligus meraikan evolusi muzik tempatan dengan melancarkan Sampai Hati Versi 2025.
Namun begitu "Sampai Hati" versi baharu ini diberi nafas segar melalui susunan Muzik moden serta menggabungan Trio istimewa iaitu bersama penyanyi berpengalaman Afif Tirmizie - bekas bintang akademi fantasia musim 9, dan juga turut menampilkan bakat muda baru Yulia Kamelia, yang pernah mencuri perhatian menerusi program "I Can See Your Voice" pada tahun (2021).
Gabungan tiga vokal ini dilihat bakal memberikan sentuhan segar dan moden kepada lagu yang pernah menjadi kegemaran ramai. Malah menurut Sony Music Malaysia pelancaran Sampai Hati versi 2025 ini adalah sebahagian daripada usaha menghargai karya-karya klasik sambil memberi ruang kepada bakat baru untuk bersinar dengan peluang yang diberikan.
Sony Music Malaysia percaya bahawa “Sampai Hati (Versi 2025)” bakal mengulangi kegemilangan balada era 90-an, memandangkan permintaan dan sokongan terhadap lagu ini masih tinggi hingga ke hari ini. Dengan jumlah penstriman digital yang mengagumkan, “Sampai Hati” turut mencatat pencapaian luar biasa sepanjang masa apabila meraih status 10× Platinum di Malaysia serta Platinum di Singapura melalui gabungan keseluruhan penstriman digital.
Pemilihan penyanyi muda, Afif Tirmizie dan Yulia kamelia juga adalah pilihan vokalis asalnya, Ameng. Malah penyanyi berasal dari Besut Terengganu itu juga bekerja rapat dalam pembikinan lagu ini terutamanya aspek susunan muzik yang baharu.
Tidak sekadar mencetus fenomena luar biasa sebagai sebuah lagu balada kegilaaan pendengar ketika generasinya, malah lagu Sampai Hati ini di sifatkan talian hayat terakhir yang menyelamatkan perjalanan kumpulan ini daripada dihentikan selamanya sebagai penyanyi rakaman. Penyanyi utamanya, Ameng, 56 atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail mengatakan lagu ini adalah pertaruhan terakhir daripada syarikat rakaman Sony Music Malaysia untuk mereka selepas album pertama yang diterbitkan setahun sebelumnya gagal mendapat perhatian pendengar tempatan ketika itu.
Tambah Ameng, Sampai Hati yang diangkat menjadi single pertama untuk album kedua Spring ini kemudian mengubah semua nasib mereka berlima sekelip mata.
“Jika diimbau kenangan 33 tahun lalu, kami semua (anggota Spring) sudah sedia nak angkat beg balik kampung selepas album pertama gagal dan pihak syarikat rakaman tidak yakin untuk meneruskan lagi. Namun alhamdulillah semua ini aturan dariNya yang mana pihak syarikat rakaman memberi kami peluang kedua dengan pergi mencari sendiri melodi atau lagu sendiri untuk percubaan kali kedua. Siapa sangka, saya bersama anggota lain memberanikan diri untuk meminta sebuah lagu dari M.Nasir sendiri. Spring terlalu baru dan tidak mempunyai nama ketika itu, memang susah nak dapatkan karya yang ‘evergreen’ seperti kumpulan lain ketika itu”.
“Mana tidaknya, sekitar awal 90an, industri muzik kita terlalu banyak kumpulan yang popular seperti Search, Wings, May, Lefthanded, Ekamatra, Illusi dan banyak lagi. Semua sudah popular dengan lagu masing-masing namun Spring masih tercari-cari identiti muzik kami”.
“Bukan setakat menghafal liriknya, namun bunyi gitar solo Sampai Hati ini saja sudah boleh membuatkan pendengar menjerit dan merasakan magiknya lagu ini.
Justeru walaupun ia diperbaharui dengan nafas susunan muzik baru, saya bertegas untuk mengekalkan identiti muziknya kerana bimbang ia boleh mencetus ketidakpuasan hati peminat Spring,” katanya lagi.
Untuk rekod, Sampai Hati turut melonjak popularitinya dengan kemunculan aktres Sofia Jane dalam video muzik asalnya. Sepanjang kerjaya mereka, Spring telah menghasilkan lapan album studio dengan deretan lagu hits seperti Bourgenvilla, Butakah Cinta, Persada Cinta, Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta, dan Sejiwa.
“Sampai Hati” versi 2025 boleh didengarkan di semua platform digital bermula 7 November 2025, manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube SonyMusicMYVEVO.