Terkini | New

MYDIN Perkasa Produk Tempatan Melalui Kempen “lokal Lagi Gempak”

MYDIN Perkasa Produk Tempatan Melalui Kempen “lokal Lagi Gempak”



Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) meneruskan komitmen memartabatkan produk buatan Malaysia dengan melancarkan kempen ‘Lokal Lagi Gempak’ bersempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 melalui kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).



Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah binti Salleh di MYDIN Subang Jaya. Kempen tersebut menampilkan pelbagai promosi dan aktiviti menarik bagi menggalakkan pengguna membeli barangan tempatan selain memperkukuh kedudukan usahawan tempatan di pasaran runcit.


Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin, berkata usaha memperkasakan produk tempatan menjadi sebahagian daripada keutamaan perniagaan syarikat sejak sekian lama.



“Kami memberi peluang sama rata kepada semua usahawan tempatan tanpa mengira saiz perniagaan. Yang penting adalah kualiti produk dan kemampuan memenuhi permintaan pelanggan. Tahun ini kami menganggarkan peningkatan jualan sebanyak 15% bagi produk tempatan khususnya IKS dan PMKS, ” katanya.



Sebagai sebahagian daripada kempen, Karnival Jualan ‘Lokal Lagi Gempak’ berlangsung di MYDIN USJ mulai 20 hingga 23 November 2025, dengan penyertaan pelbagai usahawan tempatan yang mempamer dan menjual produk mereka terus kepada pengguna.





MYDIN turut menyerahkan Sijil Penghargaan Usahawan Tempatan 2025 bagi memberi pengiktirafan kepada rakan pembekal tempatan baharu yang berjaya memasarkan produk mereka di rangkaian MYDIN.




Kempen ‘Lokal Lagi Gempak’ berlangsung di semua cawangan MYDIN seluruh negara sehingga 31 Disember 2025. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman media sosial rasmi MYDIN Malaysia.