Terkini | New

Malik Choo Tampil Dengan Lagu Baharu Penuh Emosi, ‘Apa Saja’

Malik Choo Tampil Dengan Lagu Baharu Penuh Emosi, ‘Apa Saja’


Selepas mencipta gelombang dengan single pertama,’Suka Kamu’, Malik Choo kini kembali untuk mencuri perhatian orang ramai dengan sebuah lagu baru berjudul ‘Apa Saja’. Lagu dan video muzik rasmi penyanyi ini telah dilancarkan di semua platform penstriman utama pada 31 Oktober 2025.

Lagu yang mendapat sentuhan Mambang sebagai penulis lirik ini meraikan rasa syukur, kesetiaan dan pengorbanan dalam percintaan. Lagu ini juga menggambarkan rasa gembira dan teruja memiliki seseorang sebagai pasangan yang sentiasa berada di sisi ketika suka dan duka dalam menjalani kehidupan serta janji-janji yang termeterai dalam sesuatu hubungan untuk melakukan ‘Apa Saja’ demi cinta.


Melalui lagu ini juga, Malik kembali bekerjasama dengan dua orang rakan kolaboratifnya, Altimet dan Cuurley. Sebelum ini, trio berbakat ini pernah berkolaboratif dalam lagu ‘Kita Jaga Kita’- sebuah lagu semangat yang menjadi siulan rakyat Malaysia ketika pandemik hingga kini sehingga meraih lebih 10 juta tontonan di YouTube.

Kini, trio yang berbakat ini kembali mencurahkan idea dan komitmen dalam menghasilkan lagu ‘Apa Saja’. Keunikan lagu ini adalah bahagian korus-nya yang pasti mudah diingati – “Apa Saja Untuk Kamu”, satu kenyataan yang ringkas namun membawa maksud yang sangat mendalam akan rasa cinta tanpa syarat, ketabahan dan pengorbanan dalam apa jua perkara demi seseorang yang sangat istimewa.


“Lagu ini sangat dekat dengan saya. ‘Apa Saja’ merupakan sebuah lagu cinta yang menceritakan perihal menghargai seseorang yang sentiasa bersama kita dalam apa jua perkara dan menunjukkan pengorbanan yang telah kita lakukan,” kata Malik.

Emosi disebalik bait-bait lagu ini diterjemahkan dalam video muzik yang diarahkan oleh Azarikh dan dibintangi oleh Malik bersama seorang pelakon yang pernah muncul dalam muzik video ‘Suka Kamu’, Nasuha Sulaiman.

Video muzik yang menggambarkan pengorbanan seseorang dalam percintaan melalui visual yang menarik pastinya akan menyentuh hati para peminat.


‘Apa Saja’ merupakan lagu kedua Malik bersama Dana Kebolehan Pasaran Industri Muzik DKK (Domestik 2.0), dengan sokongan daripada MyCreative Ventures dan KKMM. SVLTAN Management merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan MyCreative atas usaha mereka dalam memperkasakan industri kreatif Malaysia melalui inisiatif Dana Kandungan Digital.

Bukan itu sahaja, lagu ‘Apa Saja’ ini juga akan diluncurkan secara bersama oleh SVLTAN Management dan Sony Music Entertainment Malaysia, bukan sahaja untuk pasaran tempatan, tapi juga untuk peringkat antarabangsa.

Bagi para peminat yang teruja untuk melihat lebih banyak karya-karya daripada Malik Choo pada masa akan datang, anda boleh mengikuti perkembangan beliau di akaun Instagram, Twitter dan TikTok @malikchoo.