Terkini | New

HANYA KAMU” MENYATUKAN MAHAGURU & VOKALIS-VOKALIS HEBAT

HANYA KAMU” MENYATUKAN MAHAGURU & VOKALIS-VOKALIS HEBAT


Industri muzik tanah air sekali lagi dimeriahkan dengan kemunculan single terbaharu berjudul “Hanya Kamu”, hasil gabungan istimewa dua bintang popular, Adira Suhaimi dan Shahir Zawawi. Ini merupakan kolaborasi pertama mereka sejak kemunculan bersama dalam program fenomena Akademi Fantasia 8 (AF8) pada tahun 2010, sekaligus menjadi momen “reunion” yang penuh nostalgia, lebih istimewa dengan kehadiran semula pengetua mereka yang turut memberikan sokongan padu.

“Hanya Kamu” merupakan terbitan dan karya ciptaan penuh Dato’ Norman Abdul Halim, menampilkan sentuhan produksi yang segar dan menyentuh jiwa. Lagu ini turut dipilih sebagai lagu tema filem yang dinantikan ramai, “Duyung Legenda Aurora” yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 25 Disember 2025.


Menurut Dato’ Norman Abdul Halim “Lagu ini menuntut paduan vokal duet yang mantap untuk menghidupkan emosi dramatik dalam filem sekuel Duyung. Individu pertama yang terlintas di fikiran saya ialah Adira, memandangkan reputasinya sebagai Ratu OST. Dari situlah timbulnya idea untuk menggandingkannya dengan Shahir, kerana kedua-dua mereka merupakan bekas anak didik saya di AF kira-kira 15 tahun yang lalu.”

Mengangkat tema percintaan dua insan, “Hanya Kamu” memberi gambaran jujur tentang hubungan yang penuh kasih sayang namun tidak terlepas daripada ujian. Walaupun saling mencintai, pasangan itu tetap berdepan cabaran seperti mana-mana hubungan lain. Namun kekuatan lagu ini terletak pada mesejnya bahawa cinta sejati menuntut kesabaran, pengorbanan dan tekad untuk terus bersama walau apa jua rintangan yang datang.

“Kali terakhir saya bertemu Shahir ialah tujuh tahun lalu, dan kami tidak pernah berduet bersama kecuali ketika pertandingan AF. Saya benar-benar tidak sangka mendapat peluang ini, dan ia semestinya mengembalikan nostalgia ketika saya, Shahir dan Cikgu Norman bersama-sama dalam rancangan realiti itu 15 tahun yang lalu.” ujar Adira.

Shahir pula berkata, “Lagu dan lirik “Hanya Kamu” sangat menyentuh hati, dan saya amat teruja dapat menyanyikannya dalam genre R&B yang belum pernah saya cuba sebelum ini. Saya berharap lagu ini diterima baik oleh para pendengar, terutamanya apabila filem “Duyung: Legenda Aurora” menemui penonton di pawagam nanti.”

Dengan vokal harmoni Adira dan Shahir yang serasi serta melodi yang mendalam, “Hanya Kamu” dijangka menjadi antara lagu duet paling berkesan pada tahun ini.

“Hanya Kamu” telah dipersembahkan secara eksklusif di acara SELBIZ 2025 di Shah Alam Convention Centre pada hari Sabtu lalu. Lagu ini diedarkan oleh Sony Music Entertainment Sdn Bhd boleh distrim di kesemua platform penstriman digital mulai 5 Disember 2025.

Sementara video muziknya akan ditayangkan di saluran YouTube KRU Music jam 8 malam
pada hari yang sama.