Terkini | New

IDEATELIER Mempersembahkan Sembilu The Reunion Live In Concert Himpunkan Dato Awie, Erra Fazira & Ziana Zain

IDEATELIER Mempersembahkan Sembilu The Reunion Live In Concert Himpunkan Dato Awie, Erra Fazira & Ziana Zain


Aura magis filem Sembilu yang pernah menggegarkan industri hiburan tanah air bakal kembali mengisi jiwa para peminat menerusi Sembilu The Reunion Live In Concert, sebuah persembahan mega yang menghimpunkan tiga nama lagenda Malaysia iaitu Dato Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain. Konsert penuh nostalgia ini akan berlangsung pada 7 Februari 2026, bertempat di Axiata Arena, Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam, sekali gus dijangka menjadi antara acara hiburan paling dinantikan pada tahun 2026.

Menerusi konsep persembahan yang sarat memori, konsert ini bakal menampilkan 22 buah lagu ikonik daripada era kegemilangan filem Sembilu yang merupakan filem pecah panggung pertama di Malaysia dengan karya-karya popular yang melakar nama ketiga-tiga bintang ini di persada seni. Setiap lagu dipilih untuk membawa penonton mengimbas detik-detik emosi, konflik dan cinta yang pernah mewarnai fenomena filem tersebut.

Konsert ini bakal dibina dengan konsep persembahan yang unik dan penuh elemen sinematik. Setiap penonton berpeluang merasai pengalaman luar biasa melalui dekorasi pentas berskala besar yang menampilkan suasana bak berada di panggung filem. Persembahan akan diiringi visual dramatik, pencahayaan artistik serta elemen penceritaan yang terinspirasi daripada babak ikonik filem Sembilu. Elemen ini digabungkan secara kreatif bagi menyuntik kembali memori era kegemilangan karya tersebut dan mewujudkan pengalaman seolah-olah menonton filem yang dihidupkan semula di hadapan mata.

Selain daripada elemen visual yang memukau, konsert ini turut dijanjikan dengan susunan muzik yang penuh magis. Di bawah arahan muzik Aubrey Suwito, gubahan lagu untuk malam itu akan membawa pengalaman bunyi yang luar biasa. Aubrey yang terkenal dengan kepakarannya dalam mencipta lagu yang menggetarkan jiwa akan menyuntik sentuhan peribadi dalam setiap lagu yang dipersembahkan. 

Dengan keupayaannya mengharmonikan melodi ikonik filem Sembilu, beliau akan menggubah semula setiap lagu menjadi lebih mendalam dan memukau, memastikan setiap not ddan irama membawa penonton ke dalam dunia penuh emosi dan kenangan. Pastinya konsert ini akan menjadi sebuah malam di mana muzik tidak hanya didengar, tetapi dirasai sepenuh hati, menjadikan setiap detik penuh dengan dramdan memori yang tak terlupakan.

Berkongsi rasa, Dato Awie menyatakan, “Sembilu ialah satu perjalanan emosi yang besar dalam hidup saya. Dapat menyanyikan semua lagu ini bersama penonton yang membesar dengan karya ini adalah satu penghargaan yang sangat besar.”
Erra Fazira pula berkata, “Saya percaya ramai yang masih menyimpan memori dengan filem dan lagu-lagu Sembilu. Konsert ini seakan memberi peluang kepada kita untuk kembali membuka album kenangan itu.”
Sementara itu, Ziana Zain menambah, “Lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan dalam era Sembilu membawa jiwa yang tersendiri. Saya tak sabar untuk menghidupkan semula magis itu di pentas.”

Anjuran IDEATELIER di bawah naungan Ezuwan Ismail

Konsert istimewa ini dianjurkan oleh Ideatelier, sebuah syarikat produksi yang kian dikenali melalui penganjuran acara seni dan persembahan berkualiti tinggi. Di bawah naungan pereka fesyen terkemuka Ezuwan Ismail, ini merupakan konsert kedua mereka selepas kejayaan konsert Sammy Simorangkir di Zepp Kuala Lumpur pada Disember 2025.

Menurut Ezuwan, “Sembilu bukan sekadar filem. Ia ialah detik yang mengubah landskap hiburan negara. Saya mencadangkan konsert ini kerana saya mahu generasi baharu merasai keindahan karya yang pernah menjadi nadi masyarakat kita, dan dalam masa sama memberi ruang kepada peminat lama untuk menghidupkan kembali memori mereka.”
Beliau turut menekankan bahawa objektif konsert ini adalah menyatukan peminat lama dan baharu dalam sebuah ruang yang besar dan penuh energi bagi merayakan nostalgia, seni suara dan kekuatan penceritaan muzik era 90-an.

Harga Tiket & Maklumat Konsert
Penganjur: Ideatelier
Artis: Dato Awie, Erra Fazira, Ziana Zain
Tarikh: 7 Februari 2026
Lokasi: Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur
Harga tiket Sembilu The Reunion Live In Concert adalah seperti berikut:
* Zon Sembilu: RM1389
* Zon Di Ambang Wati: RM689
* Zon Anggapanmu : RM489
* Zon Cinta Abadi: RM349
* Zon Halaman Asmara: RM289
* Zon Tragedi Oktober: RM249
* Zon Pasrah: RM149

Tiket akan mula dijual pada Isnin, 8 Disember 2025 melalui platform www.ticket2u.com.my/sembilu bermula jam 12 tengah hari.

Nostalgia Yang Mengikat Generasi
Sembilu The Reunion Live In Concert dijangka menjadi titik pertemuan dua generasi peminat yang disatukan melalui lagu-lagu yang pernah menjadi latar bagi kisah cinta, air mata, pengorbanan dan harapan. Sembilu bukan sekadar sebuah filem tetapi fenomena yang membentuk sebahagian daripada identiti budaya pop negara. Dengan gabungan vokal hebat Dato Awie, pesona Erra Fazira dan keunggulan suara Ziana Zain, konsert ini bakal menjadi sebuah malam penuh emosi yang meruntun nostalgia.