Pelancaran Musik Video Warna Warni Hari Raya Ushera Meraikan Aidilfitri Tanpa Batas
Pelancaran Musik Video Warna Warni Hari Raya Ushera Meraikan Aidilfitri Tanpa Batas

Dengan semangat mengekalkan tradisi dan meneruskan suasana meriah di Aidilfitri, penyanyi Nona Ushera atau Ushera siap memasarkan lagu raya buat kali ketiga. Setelah muncul dengan lagu raya perdana bertajuk Suka Ria Raya pada 2017 yang menarik perhatian ramai, Ushera kemudian tampil dengan lagu raya berjudul Kembali pada tahun 2021 yang terarah kepada muzik Ghazal Melayu tradisional. Tidak muncul dengan produksi lagu raya selepas tahun 2021, untuk tahun ini, Ushera kembali lewat karya baharu sempena menyambut temasya Aidilfitri menerusi Warna Warni Hari Raya.

Warna Warni Hari Raya malah menerima sentuhan emas Ushera sebagai penulis lirik yang memilih Ganesh Bala sebagai penerbit serta komposer dalam menterjemahkan lagu tersebut menepati piawaian suasana di bulan mulia. Manifesto Warna Warni Hari Raya yang mengangkat tema keberagaman juga diterjemah lewat pembabitan karyawan seni yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Jika Ushera menghasilkan lirik dan Ganesh Bala menerbitkannya, video klip Warna Warni Hari Raya yang menjalani penggambaran pada 2 Januari lalu disempurnakan oleh Arnaud Blondel selaku Pengarah Video dan Fotografi.


Tidak hanya melahirkan lagu, Ushera melengkapkan Warna Warni Hari Raya menerusi kolaborasi bersama pereka busana terkenal, Syomir Izwa Gupta (@bysyomsz) bagi melengkapkan efek penampilan yang menjadi pakejnya selama ini. Kolaborasi ini menjadikan vibe dan suasana warna-warni yang dialunkan dan divisualkan terasa sangat dekat dan tepat.

“Liriknya berkisar tentang kemeriahan raya, tentang suasana, tentang kemeriahan menyambut raya di kampung, berbusana raya baharu dan semua tentang Aidilfitri yang berwarna warni. Warna Warni Hari Raya juga sangat bermakna kerana mengangkat tema persahabatan, majmuk masyarakat Malaysia yang sentiasa terbuka dan merayakan semua jenis perayaan bersama-sama. Hari raya adalah hari untuk mengenepikan sentimen lalu berkumpul bersama dan bergembira. Tentang liriknya yang bersahaja, saya hasilkan lirik Warna Warni Hari Raya sebegitu supaya ia mudah diingat dan melekat di hati pendengar. Namun dalam masa yang sama, melodinya tetap menerima sentuhan malar segar dan boleh menyentuh hati seluruh generasi,” ujar Ushera.

Menurut penyanyi yang cukup terkenal dengan ciri khas moden dibalut retro bukan hanya dari penampilan tetapi karya-karyanya, Warna Warni Hari Raya dihasilkan bukan bertujuan persaingan tetapi mahu menyemarakkan kemeriahan lagu raya yang kembali hangat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kali terakhir menghasilkan lagu raya pada tahun 2021 menerusi Kembali kemudian beberapa tahun saya tidak terlibat dengan produksi lagu raya. Namun kebelakangan ini karya raya menjadi menarik dengan pelbagai genre iaitu tidak hanya bersifat sedih atau klasik sebaliknya dihidupkan dengan ‘jiwa’ segar dan kekinian. Dan ia diterima ramai. Melihat kepada penerimaan yang baik ini mendorong saya lahir dengan Warna Warni Hari Raya. Saya mahu menjadi sebahagian ‘warna warni raya’ dengan karya saya sekaligus memberi pilihan yang lebih variatif buat peminat apabila musim perayaan tiba,” kata Ushera.
Muzik video meriahnya Warna Warni Hari Raya dapat ditonton di laman YouTube mulai 16 Februari jam 8.30 malam manakala lagu Warna Warni Hari Raya boleh juga didengarkan di laman spotify dan Apple Music pada tarikh 16 Februari 2026.
Sebagai informasi, Ushera juga pernah melahirkan album bertajuk Semalam Di Malaya pada tahun 2016 yang memuatkan lagu antaranya Bunga Raya, Dunia Asmara, Jikalau Abang Merindu, lagu rancak Polynesia Mambo dan lagu Chuchi Kain Chuchi Mata yang kesemuanya dinyanyikan di dalam gaya asli.