Doa Sang Pendosa Gandingkan ‘Otai Wanita’ & Isu Dadah
Doa Sang Pendosa Gandingkan ‘Otai Wanita’ & Isu Dadah
Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Farah Ahmad, Nadia Aqila Bakal ‘Kejutkan’ Aidilfitri Ini

Bagai ketupat tanpa rendang jika sambutan Aidilfitri tidak disediakan dengan ‘sajian’ hiburan eksklusif hanya dari Astro. Meraikan Lebaran 2026 dengan sebuah karya ‘berat’ yang dibarisi bintang-bintang ternama dunia seni tempatan, rumah produksi Red Bean Productions berbangga menghasilkan telefilem berjudul Doa Sang Pendosa.
Dibintangi pemain industri yang berkredibiliti seperti Datuk Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Farah Ahmad dan Nadia Aqilah, Doa Sang Pendosa menerima sentuhan emas penulis skrip Siti Jasmina sebelum ditangani dengan berjaya oleh pelakon yang juga pengarah naskhah ini, Issey Fazlisham.
Mengangkat tema kepincangan sosial dan emosi apabila beberapa wanita dengan pelbagai latar belakang dan usia terlibat dalam penggunaan najis dadah menjalani kehidupan dalam tahanan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Kota Bharu, Doa Sang Pendosa bukan sekadar hiburan di hari raya tetapi mengandungi mesej mendalam yang perlu direnungi dan dijadikan iktibar.
Bakal bersiaran pada 22 Mac 2026 pada pukul 3 petang di saluran Astro Prima, salah seorang pemain utama Doa Seorang Pendosa, Farah Ahmad menyifatkan pembabitannya dalam naskhah tersebut sebagai satu tanggungjawab yang luar biasa terutama daripada segi karakter yang telah diberikan kepadanya.
“Saya diberi tanggungjawab membawa watak Zaiton, seorang warden yang tegas. Apa yang membuatkan saya rasa karakter ini luar biasa adalah ketegasan yang ada dalam diri Zaiton perlu disulam dengan penuh kasih sayang supaya ‘klien’ di pusat pemulihan menghormati Zaiton,” ujar Farah.
Doa Sang Pendosa tambah Farah lagi memiliki mesej dan tanggungjawab yang cukup besar untuk diketengahkan, termasuk usaha kerajaan membantu ‘klien bermasalah’ keluar daripada kebimbangan dan belenggu lama mereka.Doa Sang Pendosa menarik kerana ia berkisar tentang cerita di sebalik kehidupan pemulihan klien PUSPEN yang perlu dihebahkan. Harapan mereka dan jalan mereka masih ada cahaya jika tekad.Sejarah hitam yang berlaku itu tidak mengira umur dan latar belakang juga mengingatkan kita tentang betapa penting kasih sayang dan sokongan keluarga atau orang terdekat. Bayangkan ada yang paling muda terjebak dadah umur 12 tahun. Berat untuk memahami hal ini namun ia banyak berlaku dan wujud,” ujar Farah lagi.
Berbicara tentang ‘persandingan’ dengan primadona hebat seperti Fatimah Abu Bakar dan Fauziah Nawi aktres senior yang lebih dulu ‘makan garam’, Farah mengaku teruja sekaligus menjadikan Doa Sang Pendosa sebagai ‘padang permainan’ yang seronok untuk mereka saling berbagi emosi. Bila berpeluang berlakon dengan barisan pelakon-pelakon dahsyat tentu saya lebih teruja untuk berlakon. Apa lagi Fatimah dan Fauziah adalah dua guru lakonan saya. Ia seperti bekerja tetapi pada masa yang sama ‘bermain’ dan saling berbalas energi tanpa ‘membunuh’ satu sama lain. Pendek kata memang seronok meski ada banyak lontaran dialog yang agak berat dan saat menghafal dialog macam boleh tanam ‘pokok krismas’ dan bimbang penonton tidak dapat menerima mesej dengan jelas tapi terlibat dalam Doa Sang Pendosa adalah satu lagi catatan karier yang bermakna buat saya,” ujarnya panjang lebar.
Buat the one and only Fauziah Nawi pula, beliau bersyukur kerana terlibat dalam Doa Sang Pendosa bersama barisan pelakon hebat.
“Meski ramai pelakon muda termasuk pengarah, Issey, saya melihat kami saling memiliki chemistry yang menjadikan perjalanan Doa Sang Pendosa mengalir baik,” kata Fauziah.
Nadia Aqilah pula melihat Doa Sang Pendosa daripada perspektif bagaimana sang pengarah mengangkat jalan cerita yang dikemudi kesemua watak utamanya adalah wanita selain mengangkat isu yang cukup hebat untuk dikupas.
“Secara peribadi, Doa Sang Pendosa sangat menarik kerana ia menampilkan semua aktres atau pelakon wanita. Ia mengungkap isu-isu wanita yang sudah lama tidak dipaparkan dengan ‘keras’. Selalu kita tonton kalau wanita bawa watak isteri dan adik misalnya tapi itu tidak terjadi dalam telefilem ini,” kata Nadia.
Dan tentu sahaja Nadia tidak akan pernah menolak untuk terbabit dalam sebuah naskhah bersama tiga pemain industri yang dihormatinya iaitu Fauziah, Fatimah dan Farah.
“Akhirnya saya dapat berkongsi satu naskhah dengan tiga figura yang sangat saya hormati dan sayang. Saya juga dapat bekerja buat pertama kali dengan rakan pelakon lain dan Issey yang kini sudah menjadi pengarah kegemaran saya, maka Doa Sang Pendosa sangat mengesankan buat saya,” katanya seraya berkata telefilem tersebut seperti menjadi pentas pelakon teater beraksi bersama.
Sementara Fatimah Abu Bakar yang memainkan karakter seorang penagih dadah yang mencari ketenangan hidup di dalam PUSPEN menyifatkan ‘permainan’ emosi wataknya, June memberi banyak makna tentang seorang manusia.
“Ini cerita tentang persahabatan, kekuatan, keampunan yang dicari manusia yang walaupun sering membuat kesilapan dengan bimbingan dan insaf kita boleh bangkit menjadi orang yang baik,” katanya.
Fatimah juga melahirkan kesyukuran kerana dapat bermain satu naskhah bersama Fauziah yang dihormati dan pelakon-pelakon muda yang juga dikagumi dan paling penting melakar pengalaman manis berlakon di dalam PUSPEN.
“Saya rindu sebenarnya berlakon di PUSPEN dengan tim yang sangat hebat dan banyak membantu. Saya akan kenang pengalaman berlakon di sini sebagai sesuatu yang manis buat saya,” katanya.
Doa Seorang Pendosa mengisahkan tentang onak duri June, Maria dan Rina sebagai klien yang mendapatkan bimbingan di PUSPEN bersama warden bernama Zaiton menjalani kehidupan terutama dalam suasana sayu menyambut Aidilfitri.
Konflik demi konflik tercetus sehingga persahabatan erat yang dijalin menjadi goyah malah ‘peperangan’ dengan diri sendiri menjadikan Doa Sang Pendosa sebagai sebuah telefilem yang cukup mengesankan.
Untuk itu jangan sampai terlepas menonton Doa Sang Pendosa yang mendapat kerjasama dan sokongan penuh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada Aidilfitri ini iaitu pada 22 Mac 2026 pukul 3 petang di saluran Astro Prima.