Terkini | New

Bagaimana Samsung Menangani Sleep Apnea Untuk Memberi Tenaga Kepada Hari Anda

Bagaimana Samsung Menangani Sleep Apnea Untuk Memberi Tenaga Kepada Hari Anda

Jutaan orang di seluruh dunia menderita akibat sleep apnea (apnea tidur), tetapi 80% daripada penghidapnya tidak menyedari bahawa mereka mengalaminya. Keadaan serius ini menyebabkan pernafasan seseorang terhenti seketika semasa tidur, yang berpotensi mengganggu bekalan oksigen, menurunkan kualiti tidur, dan membawa kepada komplikasi kesihatan termasuk hipertensi dan strok. Di sebalik risiko-risiko ini, gangguan tersebut sebahagian besarnya tidak disedari kerana untuk mendapatkan diagnosis biasanya memerlukan kajian tidur di dalam makmal yang memakan masa dan kos yang tinggi.

Untuk memperingati Hari Tidur Sedunia 2026, satu kajian global terhadap pengguna Samsung Health telah mendedahkan tahap sebenar keadaan ini dan kesan gangguan yang dibawanya terhadap tidur anda. Selaras dengan tema Hari Tidur Sedunia tahun ini, "Tidur Nyenyak, Hidup Lebih Baik," Samsung menukarkan tanda-tanda halimunan sleep apnea kepada wawasan yang boleh diambil tindakan melalui siri Galaxy Watch mereka, membantu mereka yang terkesan untuk menambah baik tabiat tidur dan kesihatan keseluruhan.

Bagaimanakah Sleep Apnea Memberi Kesan Kepada Tidur Anda?

Laporan tersebut mendapati bahawa 23% daripada peserta kajian berisiko menghidap sleep apnea.

“Rangsangan mikro (microarousals) dan terjaga yang menyusuli gangguan pernafasan memecah-belahkan tidur anda,” jelas saintis tidur tingkah laku, Dr. Vanessa Hill. “Kejadian tersebut boleh menghalang otak daripada kekal dalam peringkat tidur REM dan tidur nyenyak yang diperlukan untuk pemulihan kognitif dan fizikal.”

Laporan itu menunjukkan gangguan berterusan ini memberi kesan langsung kepada durasi dan kualiti tidur, yang membawa kepada:

  • Pengurangan Tidur REM: Peserta dengan penunjuk sleep apnea tahap sederhana hingga teruk yang dikesan oleh Galaxy Watch mereka mendapat kurang sekitar empat minit tidur pergerakan mata pantas (REM), iaitu fasa di mana otak kita memproses emosi, mengukuhkan ingatan dan menetapkan pembelajaran. Tanpa tidur yang mencukupi, seseorang boleh mengalami ketidakstabilan emosi dan masalah ingatan, yang menjejaskan prestasi di tempat kerja dan kesejahteraan keseluruhan.

  • Kurang Tidur Nyenyak: Sleep apnea juga merampas tidur nyenyak daripada penghidapnya, secara purata kira-kira lapan minit kurang setiap malam. Ini adalah fasa pemulihan fizikal yang kritikal bagi tubuh, di mana hormon pertumbuhan dilepaskan, otot diperbaiki, dan sistem imun anda diaktifkan. Kehilangan tidur nyenyak adalah punca mengapa anda mungkin merasa letih secara fizikal, mempunyai masa pemulihan yang lebih perlahan, dan lebih kerap jatuh sakit.

  • Kerap Terjaga di Malam Hari: Peserta kajian dengan tanda-tanda sleep apnea juga terjaga secara kerap pada waktu malam dan kekal terjaga sekitar empat minit lebih lama. Gangguan ini merosakkan kitaran tidur, mengunci anda dalam peringkat yang lebih ringan dan kurang memulihkan, serta menjadikan keletihan pada keesokan harinya tidak dapat dielakkan, tidak kira berapa lama anda tidur.

  • Durasi Tidur Lebih Pendek: Secara keseluruhan, orang yang mempunyai kebarangkalian sleep apnea yang lebih tinggi mencatatkan purata sekitar 12 minit kurang tidur. Walaupun kehilangan ini mungkin kelihatan kecil, ia boleh memberi impak yang signifikan terhadap kualiti tidur keseluruhan kerana kitaran tidur anda menjadi terfragmentasi sepanjang malam.

Mengapa Ia Penting: “Walaupun sedikit kehilangan dalam durasi tidur, ia akan ditambah lagi dengan kehilangan kualiti tidur yang lebih besar,” kata Dr. Hill. “Ini boleh menjadi perbezaan antara sekadar ‘berada di atas katil’ dengan mendapat rehat yang memulihkan, yang mungkin menjadi punca mengapa orang berasa sangat letih pada keesokan harinya.”

Dr. Hill juga menyokong pendekatan pelbagai dimensi terhadap kesihatan tidur. “Sleep apnea menjejaskan banyak dimensi tidur — durasi, kualiti, kecekapan tidur dan juga keletihan pada waktu siang,” katanya. “Semuanya bersama-sama membantu menentukan kesihatan dan fungsi kita.”

Dengan sleep apnea yang terbukti memberi kesan kepada semua aspek tidur dan membawa kepada komplikasi kesihatan yang lain, pengesanan adalah langkah pertama yang penting dalam menangani keadaan ini.

Bagaimanakah Galaxy Watch Membantu Mengesan Tanda-tanda Sleep Apnea Sederhana Hingga Teruk?

Selama bertahun-tahun, sleep apnea sukar dikesan kerana keperluan untuk ujian hospital yang menyusahkan. Walau bagaimanapun, Samsung menawarkan pengesanan di rumah dengan ciri Sleep Apnea[3] yang pertama seumpamanya pada Galaxy Watch anda.

  • Cara Ia Berfungsi: Pengguna hanya perlu menjejak tidur mereka dengan Galaxy Watch yang serasi[4] selama lebih daripada empat jam dalam tempoh dua malam dalam jangka masa sepuluh hari. Tersedia melalui aplikasi Samsung Health Monitor, ciri Sleep Apnea membolehkan pengguna mengesan tanda-tanda keadaan tersebut secara proaktif. Pada mulanya dilancarkan di Korea, ciri ini sejak itu telah menerima kebenaran De Novo daripada FDA A.S. dan kini tersedia di 78 pasaran[5] di seluruh dunia dan terus bertambah.

  • Teknologi: Memanfaatkan Sensor BioActive pada Galaxy Watch, ciri ini menjejak tahap oksigen darah untuk menentukan bila pengguna berhenti bernafas (apnea) atau tidak bernafas dengan mencukupi (hypopnea). Berdasarkan data ini, ciri tersebut menganggarkan Indeks Apnea-Hypopnea (AHI) pengguna, yang menunjukkan tahap keterukan apnea tidur obstruktif (OSA).

  • Daripada Kesedaran kepada Tindakan: Dengan mengesan tanda-tanda sleep apnea lebih awal, ciri ini menyediakan data yang diperlukan untuk rundingan bermaklumat dengan profesional perubatan. Selain menangani sleep apnea, Galaxy Watch anda boleh membantu anda membina tabiat untuk kesihatan tidur holistik yang lebih baik. Ciri-cirinya termasuk program Sleep Coaching untuk analisis terperinci dan petua tentang cara meningkatkan kualiti tidur serta Bedtime Guidance[6] yang mengesyorkan waktu tidur optimum anda untuk memastikan anda mendapat tidur yang mencukupi secara konsisten.

“Selama bertahun-tahun, kesulitan untuk menjalani kajian tidur klinikal di dalam makmal telah menjadi penghalang untuk mendiagnosis sleep apnea,” tambah Dr. Hill. “Teknologi boleh pakai seperti Galaxy Watch adalah satu kejayaan kerana ia mendemokrasikan langkah pertama tersebut. Ia membolehkan orang ramai mengumpul data yang bermakna dari katil mereka sendiri, menyediakan titik permulaan untuk berbincang dengan profesional penjagaan kesihatan.”

Kuasai Malam Anda

Tidur malam yang nyenyak adalah langkah pertama ke arah kehidupan yang lebih sihat dan bertenaga, dan Samsung sedia membimbing anda. Ekosistem Samsung menawarkan penjagaan menyeluruh, daripada mengesan tanda-tanda sleep apnea pada Galaxy Watch anda kepada memberikan cadangan untuk menerima nasihat profesional serta menghubungkan anda dengan profesional melalui rangkaian kesihatan kami.

Melihat ke hadapan, Samsung sentiasa berinovasi dan menambah baik ciri Sleep Apnea untuk menjadikannya lebih berkuasa dengan wawasan yang lebih tajam. Utamakan rehat anda hari ini untuk membuka hari esok yang lebih sihat