DUET ROMANTIK TRACIE SINIDOL & JAZMY JUMA DALAM “KU TETAP ADA”
DUET ROMANTIK TRACIE SINIDOL & JAZMY JUMA DALAM “KU TETAP ADA”
OST Rasmi Drama Bersiri “Hilang Dalam Rindu 2” Kini Temui Peminat, Terbitan Sony Music Entertainment Malaysia Dengan Kerjasama Alternate Records & Talents

Penyanyi dan pelakon muda berbakat, Tracie Sinidol serta Jazmy Juma, sekali lagi memikat hati para peminat melalui duet romantik sulung mereka, “Ku Tetap Ada”. Dilancarkan di bawah Sony Music Entertainment Malaysia dengan kerjasama Alternate Records & Talents, lagu ini turut dipilih sebagai OST rasmi bagi drama bersiri “Hilang Dalam Rindu 2”.
Single ini diterbitkan dan dihasilkan oleh komposer dan penulis lirik terkenal dari seberang, Wirawati Diana Putri dan Revo Marty, yang berjaya mencipta melodi dan lirik penuh emosi, selari dengan perjalanan watak dalam drama tersebut.
Duet Pertama Tracie & Jazmy
“Ku Tetap Ada” menandakan duet pertama Tracie dan Jazmy. Keserasian mereka sebagai pasangan utama dalam drama “Hilang Dalam Rindu 2” bukan sahaja terserlah di layar, malah turut dirasai dalam penyampaian emosi lagu ini. Gabungan vokal yang penuh perasaan serta penghayatan watak masing-masing menjadikan lagu ini lebih menyentuh hati pendengar dan memperkaya pengalaman penonton drama.
Impian Jadi Kenyataan Buat Tracie
Bagi Tracie, peluang merakamkan lagu OST ini adalah pengalaman yang sangat bermakna.
“Sudah lama menjadi impian saya memiliki lagu sendiri dan membayangkan orang akan mendengarnya dalam playlist mereka. Saya tidak pernah menyangka akan berpeluang menyanyikan OST, apatah lagi untuk drama yang saya lakonkan. Ia benar-benar satu rezeki dan pengalaman yang sangat berharga.”
Reaksi pertamanya ketika mendengar demo bercampur antara teruja dan gementar, memandangkan ini pengalaman pertama beliau merakam lagu secara profesional. Beliau menyatakan rasa gembira namun gementar kerana tidak pasti boleh menyampaikan lagu dengan baik, namun dengan bimbingan komposer dan pasukan produksi, beliau berjaya mengatasi keraguan tersebut.
Lagu Dengan Jiwa Dari Perspektif Jazmy
Bagi Jazmy, kekuatan lagu ini terletak pada mesej dan kaitannya dengan perjalanan emosi watak dalam drama.
“Apa yang membuatkan saya tertarik ialah mesej dalam lagu ini sendiri. ‘Ku Tetap Ada’ bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi tentang kesetiaan dan kehadiran seseorang walaupun dalam keadaan yang paling sukar. Apabila saya memahami konteks cerita drama dan perjalanan emosi watak, saya rasa lagu ini sangat kuat dan mempunyai jiwa.”
Menurut Jazmy, lagu ini memberi perspektif jujur tentang komitmen seorang lelaki dalam hubungan, di mana seseorang yang tidak sempurna tetap memilih untuk ada, bertahan, menjaga, dan setia.
Keserasian Di Layar & Studio
Kerjasama Tracie dan Jazmy dalam rakaman sangat selesa dan profesional. Mereka banyak berbincang tentang mood lagu dan penyampaian emosi supaya cerita dalam lagu sampai kepada pendengar. Komposer, penulis, dan pengarah vokal turut memainkan peranan penting bagi memastikan hasil rakaman yang terbaik.
Harapan Tracie & Jazmy
Walaupun berdepan cabaran sebagai penyanyi baharu, Tracie menyifatkan pengalaman merakamkan lagu ini sebagai sesuatu yang sangat berharga. Beliau berharap semua orang dapat menikmati lagu ini dan drama “Hilang Dalam Rindu 2” disambut baik oleh penonton.
Bagi Jazmy pula, beliau berharap lagu ini mampu menyentuh emosi para pendengar serta memberi impak yang lebih mendalam kepada penonton drama tersebut.
Dengarkan Di Platform Utama Sekarang
Single “Ku Tetap Ada” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama seperti Apple Music, Spotify, dan YouTube. Kedua-dua artis berharap lagu ini dapat memperkaya pengalaman emosi penonton drama “Hilang Dalam Rindu 2”.
Kredit
- Lagu: “Ku Tetap Ada”
- Artis: Tracie Sinidol & Jazmy Juma
- Komposer / Penulis Lirik / Penerbit Muzik: Wirawati Diana Putri & Revo Marty
Mengenai Drama “Hilang Dalam Rindu 2”
Musim kedua drama ini menyelami cabaran baharu rumah tangga Aira Nadira (Tracie Sinidol) dan Nadim Eijaz (Jazmy Juma) selepas satu peristiwa hampir meragut nyawa Aira ketika melahirkan anak mereka. Trauma tersebut membuatkan Eijaz menjadi terlalu overprotective, namun sikapnya yang mengawal mula menjarakkan hubungan mereka. Salah faham terus menguji cinta mereka, termasuk kemunculan seseorang dari masa lalu serta ancaman pihak yang menyimpan dendam. Persoalannya: mampukah cinta mereka bertahan apabila segalanya dipertaruhkan?