Terkini | New

SUARA HATI KHAI BAHAR SYAWAL INI MENERUSI SINGLE “AKU RINDU”

SUARA HATI KHAI BAHAR SYAWAL INI MENERUSI SINGLE “AKU RINDU”

Balada Raya Penuh Emosi Tentang Kehilangan & Kerinduan Tak Berpenghujung, Terbitan Sony Music Entertainment Malaysia


Penyanyi Khai Bahar kembali menyentuh hati peminat dengan single Raya terbaharunya, “Aku Rindu”, diterbitkan di bawah label muzik popular, Sony Music Entertainment Malaysia, dan digubah oleh komposer Farouk Roman serta liriknya ditulis oleh Adrianna Cinta.

​Lagu ini bukan sekadar sambutan Aidilfitri biasa, ia membawa pendengar menyelami gelombang rindu Khai terhadap ibu tercinta yang telah pergi, melalui balada dramatik dan melankolik yang memadukan emosi mendalam dengan keindahan muzik Raya. Setiap baitnya mengajak pendengar merasai kehangatan Syawal penuh kenangan dan makna, seolah membawa mereka ke momen yang kekal di hati.

​Rasa Rindu Dihidupkan Melalui Muzik

​Bagi Khai, “Aku Rindu” menonjol kerana keberaniannya membawa rasa rindu yang tulus, jauh daripada sekadar keceriaan Raya. “Lagu ini lebih reflektif dan emosional. Ia bukan sekadar untuk sambutan, tapi untuk dirasai, terutama bagi mereka yang berjauhan atau kehilangan,” jelas Khai.

​Lagu ini lahir daripada pengalaman peribadi Khai sendiri, di mana kenangan bersama ibunya sentiasa segar dalam ingatan. “Aku Rindu” membolehkan Khai menyalurkan perasaan itu dalam bentuk muzik, membentuk satu karya yang bukan sahaja menghibur, tetapi juga menyentuh jiwa pendengar. Perjalanan emosi lagu ini disusun dengan teliti: bait-bait lagu yang jujur seolah bercerita, pra-korus yang perlahan-lahan membangkitkan perasaan, dan korus yang melepaskan rindu sepenuhnya, diakhiri dengan penutup yang tenang dan damai.

​Cabaran Vokal & Kehalusan Penghayatan

​Pendengar pasti akan terbuai dengan korus terakhir yang menjadi puncak dramatik lagu ini, menuntut kawalan vokal yang mantap dan penghayatan emosi yang tepat. “Kalau terlalu kuat, jiwanya hilang, dan kalau terlalu lembut, klimaksnya pula tidak sampai. Jadi, kena seimbangkan di antara power dan feel,” jelas Khai.

​Khai menekankan penghayatan melalui bayangan suasana sebenar: bunyi takbir di malam Raya, suasana ramai yang pulang ke kampung dan rasa berjauhan dengan insan tersayang. Teknik vokal khas seperti breathy tone (nada bernafas), vokal yang penuh namun lembut di korus, serta falsetto halus menambah lapisan dramatik yang menusuk jiwa.

​Di Balik Tabir Rakaman

​Proses rakaman berlangsung dalam suasana fokus dan tenang, membolehkan Khai benar-benar menyelami rasa setiap lirik. Beberapa rakaman diulang demi memastikan setiap emosi disampaikan dengan sempurna. “Semua yang terlibat memberi ruang untuk saya masuk mood sepenuhnya. Ada beberapa rakaman yang saya minta ulang sebab hendak dapat feel yang tepat,” jelas Khai.

​Harapan Untuk Pendengar

​Khai berharap lagu ini benar-benar dirasai: “Saya harap bila orang dengar kali pertama, mereka terus rasa tersentuh, mungkin teringat seseorang, kampung halaman atau momen Raya yang bermakna. Kalau lagu ini boleh buat orang diam sejenak dan rasa sesuatu dalam hati, itu sudah cukup bermakna bagi saya”. “Aku Rindu” adalah jemputan buat setiap pendengar untuk menyelami emosi Syawal dan menghargai kenangan yang kekal di hati.

Kredit Lagu

  • Artis: Khai Bahar
  • Komposer & Penerbit: Farouk Roman
  • Penulis Lirik: Adrianna Cinta
  • Penyusun Muzik: Reza Ramsey
  • Penerbit Vokal / Pengarah Gaya Vokal: Afif Tirmizie
  • Adunan & Mastering Audio: Wan Saleh

Nikmati Lagu Ini Di Mana Sahaja

​Single Raya “Aku Rindu” oleh Khai Bahar kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Apple Music, Spotify dan YouTube.