Terkini | New

Lotus’s Malaysia Kongsi Senyuman Bersama Penghantar Gig Sempena Ramadan melalui Inisiatif #KitakanJiran

Lotus’s Malaysia Kongsi Senyuman Bersama Penghantar Gig Sempena Ramadan melalui Inisiatif #KitakanJiran

Sebagai sebahagian daripada kempen Senyuman Ekstra Bernilai yang sedang berlangsung, Lotuss Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Lotus’s Malaysia) memperluaskan semangat Ramadan bukan sahaja di dalam stor, tetapi juga ke dalam komuniti melalui inisiatif #KitakanJiran Juadah Pembawa Senyuman, dengan berkongsi juadah iftar bersama penghantar gig yang bekerja keras di beberapa bandar di seluruh negara.

Berteraskan nilai kemurahan hati, keprihatinan dan berkongsi rezeki, inisiatif ini melambangkan semangat Ramadan, waktu di mana komuniti berkumpul untuk saling menyokong antara satu sama lain. Melalui pengagihan juadah iftar di sepuluh stor Lotus’s terpilih, para sukarelawan berpeluang berinteraksi dengan penghantar gig yang menghabiskan masa yang panjang di jalan raya bagi memastikan barangan runcit dan keperluan harian sampai ke rumah pelanggan tepat pada masanya.

“Penghantar gig menyampaikan senyuman kepada begitu banyak rumah setiap hari, dan pada Ramadan ini, Lotus’s ingin menyampaikan senyuman kembali kepada mereka. Bagi kami, inisiatif ini adalah tentang menghidupkan semangat Senyuman Ekstra Bernilai dengan berkongsi rezeki bersama para penghantar yang bekerja tanpa jemu memastikan komuniti kita terus bergerak, termasuk sepanjang bulan Ramadan. Dengan berganding bahu bersama sukarelawan dan rakan jenama untuk menyediakan serta mengagihkan juadah iftar, kami berharap dapat menzahirkan penghargaan dan mewujudkan detik-detik kecil kebaikan di sekitar stor kami,” kata Hanim Hamdan, Ketua Komunikasi dan Kelestarian, Lotus’s Malaysia.


Program ini bermula di Lotus’s Kota Bharu, di mana penghantar gig singgah di stor tersebut sebelum waktu berbuka puasa untuk menerima pek juadah yang disediakan segar. Inisiatif ini kemudiannya diteruskan di Pulau Pinang, dengan sesi tambahan di Lotus’s Penang E-Gate, Lotus’s Sungai Dua, Lotus’s Tanjung Pinang, Lotus’s Seberang Jaya dan Lotus’s Bagan Ajam, sekali gus memperluaskan penghargaan kepada para penghantar yang berkhidmat kepada komuniti sekitar.

Hari ini, program Juadah Pembawa Senyuman diteruskan di sekitar Lembah Klang, di mana para sukarelawan Lotus’s sekali lagi berganding tenaga untuk menyediakan dan mengagihkan juadah iftar kepada penghantar gig yang sentiasa bergerak. Secara keseluruhan, Lotus’s Malaysia telah menyumbangkan lebih daripada 1,400 pek makanan melalui inisiatif #KitakanJiran sepanjang Ramadan ini, membawa detik kecil keprihatinan dan penghargaan kepada mereka yang membantu memastikan komuniti terus berhubung.

Program memasak ini menghimpunkan lebih daripada 100 sukarelawan dari Ibu Pejabat Lotus’s dan 10 buah stor, yang bekerjasama dengan rakan komuniti untuk menyediakan dan membungkus juadah. Bagi ramai pekerja, aktiviti sukarelawan sepanjang Ramadan membawa makna yang lebih mendalam, memberi peluang untuk menabur bakti kepada masyarakat, mengamalkan sadaqah, serta mendekatkan diri dengan komuniti selaras dengan semangat sebenar musim perayaan ini.

Tahun ini juga menandakan tahun kelima kerjasama antara Lotus’s Malaysia dan Food Aid Foundation. Sejak tahun 2022, kerjasama ini telah menyumbang lebih daripada 6,000 hidangan kepada komuniti yang memerlukan melalui pelbagai usaha bantuan komuniti.

Inisiatif ini turut disokong oleh rakan jenama termasuk rakan minuman rasmi Coca-Cola, Nestlé, Mondelez, F&N dan All Kurma, yang berkongsi komitmen Lotus’s untuk menyebarkan kebaikan sempena musim perayaan serta menyokong inisiatif komuniti yang bermakna sepanjang Ramadan dan Raya.

Inisiatif #KitakanJiran merupakan sebahagian daripada kempen Senyuman Ekstra Bernilai oleh Lotus’s Malaysia, yang meraikan semangat memberi, kesyukuran dan kebersamaan sepanjang musim Ramadan dan Raya. Kempen ini berlangsung di semua stor Lotus’s di seluruh negara sehingga 8 April 2026, menawarkan promosi perayaan sehingga 50% diskaun bagi 4,500 SKU, termasuk 2,500 barangan keperluan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah. Promosi ini membantu pelanggan membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dengan lebih mudah, sambil memastikan kegembiraan musim perayaan dapat dikongsi bersama keluarga, rakan-rakan dan komuniti yang lebih luas.