Manifestasi Citra Warna dan Simbol Perpaduan Negara Karya Terbaru Berjudul "Goyang Raya" Kumpulan 1119 (TRIPLE1NINE)
Tahun 2026 membuka tirainya dengan penuh kemeriahan. Suku pertama tahun ini menyaksikan keunikan budaya Malaysia apabila sambutan Tahun Baru Cina berlangsung seiring dengan kehadiran bulan Ramadan yang mulia, sebelum seluruh umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Mengambil semangat pertembungan dua perayaan besar ini, kumpulan 1119 (TRIPLE1NINE) tampil dengan karya terbaharu mereka berjudul "GOYANG RAYA". Kolaborasi mantap antara 1119, Meer Nash, Aniez, dan Zac Zac ini ternyata mencuri tumpuan apabila berjaya meraih hampir 100,000 tontonan di YouTube dalam tempoh hanya dua hari pelancarannya.
Sinergi Kreatif Merentas Etnik
Apa yang menarik, proses penghasilan lagu ini melibatkan barisan penyanyi, produser, dan bakat kreatif daripada pelbagai latar belakang etnik. "Goyang Raya" bukan sekadar lagu bermusim, ia tampil berani dengan penguasaan bahasa Melayu yang fasih serta asimilasi unik antara resonansi muzik tradisional dan elemen moden.
Secara keseluruhannya, karya ini memberikan nafas baharu kepada industri seni tempatan. Ia membuktikan bahawa muzik mampu menjadi ejen penyatuan yang ampuh, sekali gus menterjemahkan keharmonian kaum di Malaysia dalam bentuk yang cukup santai namun bermakna merentas tradisi.
Sebelum ini, kumpulan 1119 pernah mencetuskan fenomena melalui lagu 福气马上来 (Good Fortune Comes Soon) sempena Tahun Baru Cina. Lagu yang memaparkan kemeriahan suasana kampung itu berjaya mencecah 11 juta tontonan dan menjadi lagu tema di pelbagai pasar raya serta kedai serbaneka seluruh negara.
Apa kata 1119?
"Saya benar-benar bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada lagu dan rakaman Goyang Raya 1119. Berbanding dengan Raya Ria tahun lepas, lagu tahun ini terasa lebih tradisional dan membawa semangat perayaan Raya yang lebih kuat, yang benar-benar dapat saya rasai. Mempelajari tarian tradisional Melayu adalah sukar kerana ia memerlukan kelembutan dan keanggunan yang sangat berbeza daripada K-pop atau persembahan CNY kami, tetapi kami sangat menggemarinya." - Eugene, Artis 1119 -
"Saya seronok menjadi sebahagian daripada penggambaran MV Raya. Suasana di set sangat meriah dan penuh dengan tenaga positif. Saya harap apabila orang ramai menontonnya, mereka dapat merasai kemeriahan dan kemesraan Raya seperti yang kami lakukan semasa penggambaran." - Zac Zac -
"Goyang Raya ialah lagu Raya pertama saya selepas 11 tahun berada dalam industri, dan berkolaborasi dengan 1119 adalah masa dan pilihan yang tepat kerana ia benar-benar mewakili siapa saya sebagai anak campuran (Melayu + Cina). Saya suka bagaimana ia menunjukkan sisi berbilang kaum di negara kita, Malaysia. Apa yang membuatkan saya berkata ya kepada kolaborasi ini, sudah tentulah lagu yang menarik dan melodi yang pastinya tidak pernah gagal dengan koreografi mereka, dan itulah yang selalu membuatkan orang semakin tertarik dengan kerja mereka. Secara keseluruhannya, saya sangat menikmati kedua-dua sesi rakaman dan penggambaran MV, ia benar-benar sangat menyeronokkan." - Meer Nash -
Melalui "Goyang Raya", 1119 sekali lagi membuktikan bahawa memori pulang ke desa dan kerinduan terhadap suasana kampung adalah nilai yang tidak ternilai harganya. Ia adalah sebuah karya kolektif yang menyatukan hati rakyat Malaysia menerusi irama dan budaya.