Momen Epik Dua Dekad Akan Berulang Di Tahun 2026 Melalui The Grand Slam Unplugged 2
Momen Epik Dua Dekad Akan Berulang Di Tahun 2026 Melalui The Grand Slam Unplugged 2

Sesuatu yang epik seperti sebuah konsert dengan momen luar biasa yang terjadi secara semula jadi adalah sangat sukar untuk diulang, namun ia boleh diterjemahkan dengan lebih kaya seperti kembali ke terowong masa dalam atmosfera baharu. Pengalaman hebat ini, yang merupakan pertembungan antara momen epik dan perayaan repertoir yang cukup besar, bakal dipersembahkan dalam sebuah konsert berskala besar yang digelar The Grand Slam Unplugged 2.
The Grand Slam Unplugged 2 akan menjadi sekuel paling menarik setelah edisi perdana yang berlangsung dua dekad lalu dikembalikan semula dengan segala perasaan ‘throwback’ namun kini dengan bungkusan yang lebih menarik. Momen magis malam 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka bakal berulang. Ia bukan sekadar mahu menghidupkan semula sejarah industri muzik tempatan yang tetap berlangsung gah meskipun terkendala gangguan elektrik pada waktu itu, tetapi The Grand Slam Unplugged 2 adalah tentang mencipta momen baharu lewat kenangan silam.

Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 20 Jun 2026 bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Ini merupakan tarikh dan lokasi di mana setiap jiwa yang beralun lagu-lagu Slam akan berkumpul dan bernostalgia bersama.
Menurut gitaris Slam, Shah:
“The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah reminisensi, perasaan, kenangan dan keraian lagu-lagu Slam yang hidup sejak era kaset, masuk ke era cakera padat (CD) sehingga ke dunia penstriman tetap diterima baik oleh peminat kami. Ia bukan sebuah konsert ulang tayang. Ia juga bukan sebuah konsert yang dilahirkan kerana mengambil kesempatan di atas sejarah tiada elektrik yang berlaku 20 tahun lalu. Tapi ini tentang sebuah apresiasi serta perayaan yang merayakan karya dan peminat. Ia tentang perayaan kekuatan Slam mengharungi badai dan mampu bertahan sekaligus kekal relevan dengan pasaran sekarang.”
Sokongan peminat terhadap konsert ini amat luar biasa. Osman Khalid, selaku pemain dram Slam menyatakan:
“Kami sangat bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan peminat. Setelah tiket dilancarkan 13 Februari lalu, setakat ini sudah 70 peratus tiket dijual. Kami yakin peminat masih setia dengan kami dan ini sangat mengharukan.”
Bagi menambah kemeriahan, Slam turut menjemput tiga sosok penting dalam industri seni yang sinonim dengan pembikinan lagu-lagu ‘masterpiece’ Malaysia iaitu Aznan Alias, JoBranko, dan Kid Search. Kehadiran tiga gitaris legenda yang mempunyai ‘signature’ tersendiri ini akan mewarnai lagi suasana unplugged kelak.
Aznan Alias menyifatkan jemputan ini sebagai sesuatu yang istimewa:
“Saya menyifatkan ini merupakan sebuah undangan istimewa dan sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka. Saya sangat menghargai jemputan Ini. Dan bagi saya Slam adalah wajah sebenar genre Pop Melayu.”
Bagi JoBranko, penglibatan ini adalah satu penghormatan dan lambang silaturahmi:
“Tentu sekali saya berbangga untuk terlibat dalam projek mega Slam ini. Sebagai pemuzik dan sahabat, saya melihat Slam sebagai sebuah kumpulan yang hebat kerana mampu bertahan selama berpuluh tahun. Lebih membanggakan, Slam dianggotai lima kepala dan semuanya perlu bersatu untuk kekal sehingga kini. Slam memiliki banyak lagu evergreen dan peminat tegar, maka saya percaya konsert ini akan sukses.”
Manakala menurut Kid, penglibatannya adalah bentuk apresiasi sesama pemuzik:
“Muzik sentiasa menyatukan kita. Tidak kisah saya datang daripada kumpulan apa atau Slam membawa genre berbeza, namun kita meraikan semuanya. Terima kasih buat Slam kerana menjadikan saya sebahagian momen epik ini.”
Slam berjanji akan melaksanakan konsert ini sesempurna mungkin bagi memastikan kehangatan lama kembali terjalin. Kata Shah lagi, “Malam itu akan menjadi momen kita semua kembali merindu dan semoga tidak ada yang terasing dalam sepi. Ia akan menjadi medan 'Masih Ada Cahaya' dalam perjalanan Slam dan anda semua.”

MAKLUMAT TIKET
Peminat dinasihatkan untuk segera mendapatkan tiket di www.ilassotickets.com/thegrandslamunplugged2. Kategori PS3 dan PS4 telah habis dijual (Sold Out). Berikut adalah senarai harga tiket yang masih tersedia:
- GRAND VIP: RM3000.00 (Couple Sofa)
- VIP (Gold): RM468.00 (Numbered Seating)
- PS1 (Silver): RM388.00 (Numbered Seating)
- PS2 (Platinum): RM368.00 (Numbered Seating)
Nota: Harga tiket tidak termasuk caj pengendalian dan fi transaksi gerbang pembayaran.