Terkini | New

100 pesawat, 44 bulan dan 4.4 juta jam bekerja: Program pelengkapan semula (retrofit) Emirates mencatat pencapaian utama

100 pesawat, 44 bulan dan 4.4 juta jam bekerja: Program pelengkapan semula (retrofit) Emirates mencatat pencapaian utama

Emirates telah mencapai mercu tanda 100 buah pesawat yang diubah suai di bawah program pelengkapan semulanya, iaitu yang terbesar pernah dikendalikan oleh mana-mana syarikat penerbangan di peringkat global. Sejak kerja-kerja bermula pada November 2022, sebanyak 47 buah Airbus A380 dan 53 buah Boeing 777 telah diberikan penyegaran menyeluruh dari hujung ke hujung di hangar Kejuruteraan Emirates (Emirates Engineering) di Dubai. Menjelang akhir Disember 2026, sekitar 20 buah pesawat tambahan akan dinaik taraf, sekali gus membawa syarikat penerbangan ini melepasi separuh jalan dalam pelaburan bernilai AS$5 bilion yang bertujuan untuk memberikan pengalaman yang sentiasa dipertingkatkan kepada pelanggan.

​Dalam tempoh 44 bulan, pasukan Kejuruteraan Emirates telah mengerahkan lebih 400 jurutera dan teknisyen, dengan melaburkan sebanyak 4.4 juta jam bekerja secara kolektif untuk mentransformasikan 100 buah pesawat dan memberikan naik taraf yang sofistiked pada seluruh bahagian dalaman kabin semua pesawat tersebut.

​Setiap pesawat juga telah dilengkapi dengan Kabin Ekonomi Premium yang baharu semasa proses pelengkapan semula itu. Secara keseluruhannya, lebih 3,800 tempat duduk Ekonomi Premium baharu telah dipasang sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, sekali gus mempercepatkan pengenalan produk yang sangat mendapat permintaan ini ke lebih banyak laluan di seluruh rangkaian Emirates, dengan lebih banyak peluang untuk pelanggan merasai pengalaman kabin yang amat dipuji ini.

​Sir Tim Clark, Presiden Syarikat Penerbangan Emirates berkata: "Komitmen kami untuk memberikan produk terbaik dalam kelasnya bagi setiap kabin adalah usaha yang berterusan, dan menyelesaikan pelengkapan semula kabin sepenuhnya untuk 100 buah pesawat berbadan lebar dalam tempoh 44 bulan merupakan satu pencapaian yang signifikan. Disokong oleh pelaburan sebanyak AS$5 bilion, ia memastikan pelanggan kami 'terbang lebih baik' (fly better), dengan kemewahan, keselesaan, dan perincian yang teliti dipertingkatkan di setiap kabin. Menjalankan projek dengan saiz dan kerumitan sebegini sepenuhnya secara dalaman (inhouse) juga memerlukan perancangan, ketepatan, pertukangan dan keupayaan teknikal yang tiada tandingannya di sini di Dubai. Pasukan kami telah menulis semula sepenuhnya buku peraturan mengenai pelengkapan semula dua pesawat penumpang terbesar dalam penerbangan komersial untuk memastikan setiap pesawat kembali ke ruang udara mengikut jadual dan dalam keadaan yang sempurna."

​Kejuruteraan naik taraf

​Sejak projek ini bermula pada November 2022, pasukan Kejuruteraan Emirates telah melengkapkan semula purata 28 buah pesawat setahun. Sebagai sebahagian daripada setiap pelengkapan semula, para jurutera membuka sepenuhnya bahagian dalaman pesawat, melaksanakan penyegaran yang menyeluruh di semua kabin dengan dilengkapi 4,000+ komponen untuk pesawat A380 dan 2,500+ komponen untuk pesawat Boeing 777, dan kemudian memasang semula segala-galanya dengan penuh ketepatan.

​Pasukan Kejuruteraan Emirates juga membangunkan penyelesaian inovatif untuk mengendalikan projek berskala monumental ini termasuk penggunaan trak katering yang diubah suai di dalam hangar untuk memindahkan komponen besar dari dan ke bengkel pelengkapan semula ke pesawat. Selain daripada membangunkan penjejakan kemajuan kerja mengikut zon dan prosedur penyimpanan serta pengambilan komponen khusus, pasukan ini juga telah mereka bentuk dan mengeluarkan beberapa peralatan khusus untuk memindahkan komponen serta mengakses semua kawasan dalaman pesawat bagi pelengkapan semula tersebut. Kejuruteraan Emirates telah bekerjasama dengan lebih 100 pembekal untuk melaksanakan projek yang bercita-cita tinggi ini.

​Dari pelan tindakan ke landasan

​Program pelengkapan semula Emirates mula diumumkan pada November 2021 yang merangkumi 105 buah pesawat daripada armada syarikat penerbangan tersebut. Pada November 2022, pesawat Emirates yang pertama, sebuah Airbus A380, menjalani pelengkapan semula di hangar Kejuruteraan Emirates di Dubai. Menjelang Mei 2024, didorong oleh permintaan pelanggan yang kuat, inisiatif pelengkapan semula ini telah diperluaskan untuk merangkumi 191 buah pesawat dan seterusnya meningkat kepada 219 buah pesawat menjelang akhir tahun tersebut. Pada Ogos 2024, Boeing 777 pertama yang dilengkapkan semula di Dubai telah memasuki perkhidmatan komersial.

​Baru-baru ini, pada Mei 2026, pasukan Kejuruteraan Emirates telah menyelesaikan pelengkapan semula dua ke tiga kelas bagi sebuah A380, sebuah projek yang melibatkan perubahan struktur penting pada pesawat termasuk pengenalan Kabin Ekonomi Premium di dek atas pesawat buat pertama kalinya. Bermula Oktober 2026, program pelengkapan semula Emirates akan memasuki fasa seterusnya dengan pemasangan skrin paparan 4K OLED HDR10+ pada penyandar tempat duduk pesawat bersama-sama dengan pengenalan tempat duduk ringan Safran Z400 yang baharu, di samping pengubahsuaian produk yang lain.

​Kitar naik (Upcycling)

​Selaras dengan komitmennya terhadap kelestarian, beribu-ribu kilogram kulit gred tinggi, fabrik dan bahan lain yang ditanggalkan daripada pesawat yang dilengkapkan semula sedang dikitar naik menjadi pelbagai barangan pengumpul edisi terhad seperti barangan bagasi di bawah rangkaian ‘Aircrafted by Emirates’. Emirates juga telah mengedarkan lebih 4,000 beg galas yang diperbuat daripada fabrik tempat duduk Kelas Ekonomi yang diubah suai fungsinya kepada kanak-kanak di 11 buah negara.

​Emirates di Malaysia

  • ​Emirates telah berkhidmat di Malaysia sejak tahun 1996, menawarkan ketersambungan global yang lancar dari Kuala Lumpur ke Dubai dan seterusnya.
  • ​Syarikat penerbangan ini mengendalikan 14 penerbangan mingguan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Dubai, dengan menggunakan kedua-dua pesawat Airbus A380 dan Boeing 777.
  • ​Perkongsian kod kongsi (codeshare) Emirates bersama Malaysia Airlines membolehkan penumpang menempah keseluruhan perjalanan dengan Emirates dan menyambung penerbangan ke 17 destinasi di seluruh Malaysia, semuanya dalam satu tiket.
  • ​Perjanjian kod kongsi Emirates dengan Batik Air memberikan pelanggan akses mudah ke lima destinasi domestik (Pulau Pinang, Langkawi, Johor Bahru, Kota Kinabalu, dan Kuching) dan tiga destinasi serantau Asia Tenggara, melalui Kuala Lumpur.
  • ​Pada tahun 2024, Emirates telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Tourism Malaysia untuk mempromosikan pelancongan masuk secara bersama dan memamerkan pelbagai tarikan budaya dan semula jadi Malaysia kepada pengembara dari seluruh rangkaian global syarikat penerbangan itu.
  • ​KLIA merupakan lapangan terbang pertama di Malaysia yang mampu mengendalikan Airbus A380, dengan Emirates melancarkan perkhidmatan ikonik A380 miliknya ke Kuala Lumpur pada tahun 2012.

​Mengenai Emirates

​Kisah Emirates bermula pada tahun 1985 apabila kami memulakan operasi dengan hanya dua buah pesawat. Hari ini, kami menerbangkan armada Airbus A380 dan Boeing 777 terbesar di dunia, menawarkan pelanggan kami keselesaan daripada pesawat berbadan lebar yang terbaharu dan paling cekap di ruang udara.

​Kami memberi inspirasi kepada pengembara di seluruh dunia dengan rangkaian destinasi global kami yang semakin berkembang, hiburan dalam penerbangan yang menerajui industri, masakan yang diinspirasikan oleh serantau, dan perkhidmatan bertaraf dunia.

https://www.emirates.com/my/english/