Terkini | New

ATLAS Lancar 'Nutri Aid', Inisiatif Berteraskan Teknologi bagi Menangani Isu Jurang Nutrisi di Sekolah

ATLAS Lancar 'Nutri Aid', Inisiatif Berteraskan Teknologi bagi Menangani Isu Jurang Nutrisi di Sekolah

Teknologi mesin layan diri pintar dan susu Goodday Charge menyalurkan bantuan nutrisi automatik kepada pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara.


Sempena Hari Susu Sedunia, ATLAS Vending, cabang perniagaan mesin layan diri Etika Sdn Bhd, hari ini melancarkan 'ATLAS Nutri Aid' di The Goodday Milk Factory, Petaling Jaya. Dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), inisiatif tanggungjawab sosial korporat ini bertujuan menangani isu jurang nutrisi dalam kalangan murid sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan.

ATLAS Nutri Aid memanfaatkan teknologi mesin layan diri pintar bagi menyediakan akses harian yang konsisten kepada susu berkualiti tinggi secara percuma untuk pelajar yang memerlukan. Bagi kebanyakan kanak-kanak dalam komuniti B40 di Malaysia, akses kepada zat makanan harian yang mencukupi kekal menjadi cabaran kritikal yang sering kali terlepas pandang. Melalui inisiatif ini, khasiat berasaskan tenusu bukan sahaja dapat disediakan, malah disalurkan secara berterusan dalam persekitaran sekolah dan komuniti yang selamat.

Pelancaran rasmi ini menyusuli kejayaan program perintis di beberapa sekolah terpilih yang mencatatkan kadar penglibatan murid yang tinggi serta kelancaran transaksi yang lebih baik. Berikutan maklum balas yang memberangsangkan itu, program ini akan diperluaskan menerusi penempatan 10 mesin layan diri ATLAS Nutri Aid di sekolah-sekolah yang terpilih.

Inisiatif ini turut disokong rapat oleh YRMS yang memainkan peranan penting dalam aspek pembiayaan, penyelarasan komuniti, dan proses mengenal pasti penerima yang layak bagi memastikan bantuan yang disalurkan sampai kepada kumpulan sasar dan kanak-kanak yang lebih memerlukan.

ATLAS Nutri Aid diasaskan atas komitmen padu untuk menangani cabaran kesihatan kompleks dalam kalangan golongan muda di Malaysia, khususnya isu kelaparan tersembunyi “hidden hunger” serta masalah tumbesaran terbantut yang semakin membimbangkan. Situasi kritikal ini menandakan isu kesihatan awam yang serius, ditambah pula dengan kajian SEANUTS II yang menunjukkan lebih daripada 70% kanak-kanak tidak mencapai tahap pengambilan harian Kalsium dan Vitamin D yang disyorkan.