Terkini | New

Tropicana Memacu Pertumbuhan Perniagaan Strategik Melalui Kerjasama Hospitaliti Bersama Accor yang dikenali sebagai Mercure Living Genting Highlands

Tropicana Memacu Pertumbuhan Perniagaan Strategik Melalui Kerjasama Hospitaliti Bersama Accor yang dikenali sebagai Mercure Living Genting Highlands


​Tropicana Corporation Berhad kini sedang mempercepatkan transformasi jangka panjangnya menjadi sebuah platform hartanah yang pelbagai, seiring dengan pengembangannya melangkaui perniagaan pembangunan perbandaran sedia ada ke dalam sektor hospitaliti, pendapatan berulang, pengurusan aset dan sektor pelengkap lain yang direka untuk memperkukuh daya tahan pendapatan serta membuka nilai jangka panjang yang lebih besar daripada simpanan tanah strategiknya.


​Kerjasama terbaharu Kumpulan dengan Accor untuk memperkenalkan kondotel berjenama Kumpulan Accor yang pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Mercure Living Genting Highlands di Tropicana Grandhill merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan ini. Lebih daripada sekadar perjanjian pengurusan hotel, kerjasama ini menunjukkan bagaimana Tropicana berhasrat untuk menyepadukan jenama hospitaliti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa ke dalam perbandaran terpilih untuk memperkukuh kedudukan projek, meningkatkan keyakinan pembeli dan mewujudkan aset hospitaliti yang diuruskan secara profesional serta mampu menjana pendapatan berulang yang mampan.


​Bagi pembeli, Mercure Living Genting Highlands menawarkan rangkaian faedah yang menarik melalui ekosistem hospitaliti global Accor. Ini termasuk akses kepada rangkaian tempahan dan pengedaran global Accor, penyertaan dalam program kesetiaan ALL-Accor Live Limitless, perkhidmatan sewaan dan pajakan yang diuruskan secara profesional, serta piawaian jenama yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi memastikan kualiti dan penyampaian perkhidmatan yang konsisten. Pemilik mendapat manfaat daripada pengurusan hartanah yang bebas daripada kerumitan, potensi pendapatan sewa, pendedahan pemasaran global, dan kepakaran operasi yang disokong oleh pengalaman luas Accor di pelbagai pasaran. Di samping itu, pemilik boleh menikmati keistimewaan gaya hidup seperti kadar harga istimewa, ganjaran ahli, dan akses kepada portfolio global hotel dan resort, sekali gus meningkatkan penggunaan peribadi dan nilai aset jangka panjang.

​Strategi ini mencerminkan visi Kumpulan yang lebih luas untuk mewujudkan perbandaran lestari bersepadu di mana orang ramai boleh tinggal-bekerja-bermain-belajar-membeli-belah-menginap dan mengalami tawaran gaya hidup dalam komuniti yang dirancang dengan teliti.

​Memandangkan keutamaan pengguna terus berkembang dan sektor hartanah kini semakin dipacu oleh pengalaman, Tropicana percaya pertumbuhan masa depan akan disokong bukan sahaja oleh jualan hartanah, tetapi juga oleh pendapatan berulang yang dijana melalui kerjasama strategik dalam operasi hospitaliti, pengurusan sewaan, perkhidmatan gaya hidup, pengaktifan perbandaran dan inisiatif pengurusan aset strategik.

​Mengulas mengenai hala tuju strategik Kumpulan, Dennis Ng, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tropicana Corporation Berhad, berkata: "Selama lebih daripada empat dekad, Tropicana telah mengukuhkan kedudukannya sebagai salah sebuah pemaju perbandaran terkemuka di Malaysia. Memandangkan pasaran terus berkembang, kami juga turut mengembangkan model perniagaan kami untuk mewujudkan platform yang lebih kukuh dan seimbang demi pertumbuhan jangka panjang.

​"Objektif kami adalah untuk melengkapkan perniagaan pembangunan tradisional kami dengan aliran pendapatan berulang yang mampan yang dapat meningkatkan nilai pemegang saham di samping memperkukuh daya saing dan daya tahan perbandaran kami. Kerjasama dengan Accor menunjukkan bagaimana perkongsian hospitaliti global dapat membuka nilai baharu daripada pembangunan kami dan mewujudkan aset gaya hidup yang diuruskan secara profesional yang memberi manfaat kepada pemilik rumah, pelabur dan komuniti yang lebih luas."

​Garth Simmons, Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Premium, Skala Sederhana & Ekonomi, Accor Asia, berkata: "Mercure Living Genting Highlands mewakili peluang yang menarik untuk mengembangkan tawaran penginapan jangka panjang (extended-stay) kami di Malaysia melalui kerjasama dengan salah sebuah pemaju terkemuka di negara ini. Memandangkan pelancong kini semakin mencari penginapan yang menggabungkan fleksibiliti, keselesaan dan pengalaman tempatan yang tulen, kami percaya pembangunan ini akan berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan tersebut di samping menyumbang kepada pertumbuhan berterusan Genting Highlands sebagai destinasi percutian."

​Berucap di majlis menandatangani perjanjian tersebut, Encik Andrew Langdon, Ketua Pegawai Pembangunan Asia untuk Accor, menyatakan, "Genting Highlands telah mengukuhkan kedudukannya sebagai salah sebuah destinasi pelancongan utama di Asia dan terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Dengan ketibaan pelawat yang mengatasi destinasi terkenal seperti Bali dan Phuket, kami yakin permintaan daripada pelancong antarabangsa dan domestik akan terus meningkat. Mercure Living Genting Highlands diposisikan secara strategik untuk memenuhi permintaan ini sebagai pembangunan Mercure Living yang terbesar di peringkat global. Ia akan menetapkan penanda aras baharu bagi hospitaliti penginapan jangka panjang berjenama di Malaysia."

​Kumpulan percaya model bersepadu ini mempunyai potensi untuk direplikasi di seluruh pembangunan terpilih dalam portfolio nasionalnya, terutamanya di destinasi yang diterajui pelancongan, gaya hidup, pinggiran air (waterfront) dan tanah tinggi di mana hospitaliti berjenama dapat melengkapkan tawaran kediaman, komersial dan rekreasi.

​Antara lokasi yang telah dikenal pasti untuk peluang masa depan termasuk Tropicana WindCity di Genting Highlands, Lido Waterfront Boulevard di Johor, Tropicana Cenang serta pembangunan pesisir pantai dan berorientasikan resort masa depan yang terpilih di Genting Highlands, Johor dan Langkawi di mana hospitaliti dan pembentukan tempat destinasi (destination placemaking) dapat meningkatkan lagi nilai jangka panjang.

​Melangkaui hospitaliti, Tropicana terus mempelbagaikan perniagaannya ke dalam sektor pelengkap yang menyokong strategi pertumbuhan jangka panjangnya, termasuk infrastruktur digital dan platform pendapatan berulang lain yang memanfaatkan simpanan tanah strategik Kumpulan yang besar serta kepakaran perbandaran bersepadu.

​Menyokong evolusi strategik Kumpulan adalah perjalanan transformasi digital Tropicana yang sedang berjalan melalui platform seperti T360 dan T Journey, yang direka untuk meningkatkan pengalaman pelanggan melangkaui pemilikan hartanah. Berfungsi sebagai platform digital bersepadu Kumpulan, T360 menggabungkan pengurusan hartanah pintar, kandungan gaya hidup dan program kesetiaan Keistimewaan Tropicana (Tropicana Privilege) dalam satu ekosistem digital yang lancar. Pemilik hartanah boleh mengakses maklumat hartanah dengan mudah, mengurus penyelenggaraan dan pengebilan, menyerah dan menjejaki pembaikan kecacatan (defect rectification), menempah kemudahan dan ameniti, menerima kemas kini komuniti, dan menikmati pengalaman digital yang terhubung sepanjang perjalanan pemilikan rumah mereka. Selain pengurusan hartanah, T360 juga menampilkan kandungan gaya hidup yang dikuasi melalui T Magazine, podcast Spill the T, di samping ganjaran eksklusif, promosi dan keistimewaan yang ditawarkan melalui rangkaian rakan kongsi merchant yang semakin berkembang.

​Melengkapi ekosistem ini, T Journey mengembangkan keupayaan hospitaliti dan pengurusan hartanah Tropicana dengan menyediakan perkhidmatan sewaan yang diuruskan secara profesional untuk pembangunan terpilih, bermula dengan projek-projeknya di Langkawi, di samping menawarkan pengalaman perjalanan, penginapan, makan dan gaya hidup yang dikuasi melalui kerjasama strategik. Bersama-sama, T360 dan T Journey memperkukuh penglibatan pelanggan, meningkatkan kemudahan dan kesetiaan pemilik rumah, serta mewujudkan peluang pendapatan berasaskan perkhidmatan tambahan. Platform-platform ini membentuk sebahagian penting daripada strategi pertumbuhan holistik Tropicana, menyokong visi jangka panjangnya untuk membina komuniti sedia masa depan yang terhubung di samping mencipta nilai mampan untuk pelanggan, rakan kongsi dan pemegang saham.

​Inisiatif-inisiatif ini adalah selaras dengan visi OneTropicana iaitu Menghubungkan Komuniti, Membina Masa Depan (Connecting Communities, Forging Futures), mewujudkan komuniti bertenaga yang menyepadukan ekosistem kediaman, hospitaliti, komersial, gaya hidup dan digital di samping bertindak balas terhadap keperluan pasaran yang berubah-ubah dan trend ekonomi masa depan.

​Kumpulan percaya evolusi ini secara progresif akan memperkukuh daya tahan pendapatan dengan memperluaskan sumber pendapatan melangkaui pembangunan hartanah konvensional di samping menyokong pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

​Daripada melihat hospitaliti sebagai perniagaan yang berdiri sendiri, Tropicana melihatnya sebagai lanjutan daripada falsafah pembangunan perbandarannya. Jenama hospitaliti antarabangsa, program sewaan yang diuruskan secara profesional, pengaktifan destinasi dan perkhidmatan gaya hidup secara kolektif meningkatkan daya tarikan pembangunan, menambah baik nilai aset dan mewujudkan komuniti yang lebih kukuh yang terus menjana aktiviti ekonomi lama selepas projek siap.

​Melangkah ke hadapan, Tropicana berhasrat untuk terus meneroka kerjasama strategik dengan rakan kongsi global dan serantau terkemuka yang melengkapkan kepakaran perbandaran bersepadunya dan mengukuhkan kedudukannya sebagai salah sebuah pemaju komuniti paling progresif di Malaysia.

​Memandangkan Kumpulan memperluaskan platform hospitalitinya bersama-sama dengan portfolio perbandarannya, inisiatif-inisiatif ini dijangka akan menyokong objektif jangka panjang Tropicana untuk membina platform hartanah sedia masa depan yang lebih pelbagai, yang mampu memberikan nilai mampan untuk pelanggan, rakan kongsi, pelabur dan pemegang saham.

​Sedang Tropicana terus berkembang, setiap inisiatif strategik kekal berakar umbi pada visi OneTropicana iaitu Menghubungkan Komuniti, Membina Masa Depan (Connecting Communities, Forging Futures) dan misinya untuk mencipta nilai berterusan melalui inovasi, pertumbuhan mampan dan kecemerlangan berpaksikan pelanggan. Berpandukan nilai dan prinsip THRIVE, Kumpulan tetap komited untuk membangunkan perbandaran bersepadu sedia masa depan yang disokong oleh 8 DNA Pembangunan tersendiri dan 3 tonggak ESG - Manusia, Planet dan Kerjasama (People, Planet and Partnership). Melalui pendekatan holistik ini, Tropicana akan terus memperkukuh daya tahannya, meningkatkan nilai pihak berkepentingan dan membina komuniti berkembang maju yang mencipta impak ekonomi, sosial dan alam sekitar yang positif untuk generasi akan datang. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tropicanacorp.com.my.