Terkini | New

RENTAK BUDAYA 2026 GEGARKAN KUALA LUMPUR DENGAN RATU ROCK ELLA SERTA PELBAGAI ACARA INTERAKTIF SENI & BUDAYA

RENTAK BUDAYA 2026 GEGARKAN KUALA LUMPUR DENGAN RATU ROCK ELLA SERTA PELBAGAI ACARA INTERAKTIF SENI & BUDAYA

Tiga hari meraikan seni, budaya dan warisan di River of Life dan Padang Merbok, Kuala Lumpur dari 30 Oktober hingga 1 November 2026

Rentak seni, budaya dan hiburan mewarnai ibu kota menerusi Rentak Budaya 2026, yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November 2026 di dua lokasi berdekatan pusat bandar Kuala Lumpur iaitu River of Life dan Padang Merbok.



​Dianjurkan oleh Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dengan kerjasama rakan strategik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Rentak Budaya 2026 menghimpunkan pelbagai aktiviti seni, budaya, warisan, kraf dan hiburan dalam satu acara yang terbuka kepada orang ramai.

ELLA, KAKA AZRAFF MERIAHKAN PENTAS PADANG MERBOK

​Antara tarikan utama Rentak Budaya 2026 ialah persembahan pentas di Padang Merbok yang bermula pada jam 8.00 malam, menampilkan barisan artis terkenal tanah air antaranya Ella, Kaka Azraff, Ikon lagu tradisional Haziq Rosebi dan Rosma Sidek.


​Turut memeriahkan pentas ialah persembahan Dikir Barat oleh Issey & Friends, selain persembahan kebudayaan yang mengetengahkan keunikan seni tradisi Malaysia seperti Gendang Rebana, Silat, Tarian Joget, Zapin Berkopak, Gendang 24 dan pelbagai persembahan lain.

​Gabungan artis popular dengan persembahan tradisional ini diharap dapat mewujudkan sebuah pentas yang meraikan kepelbagaian seni Malaysia, sekali gus mendekatkan warisan budaya kepada masyarakat daripada pelbagai generasi.

​Acara persembahan pentas ini adalah bersempena dengan acara Hari Permainan Malaysia 2026 yang diadakan pada sebelah siang. Pelbagai gerai makanan minuman viral turut memeriahkan acara selama tiga hari di Padang Merbok.



​Sementara itu, suasana di River of Life pula menawarkan pengalaman seni dan budaya yang lebih dekat, mesra dan interaktif, apabila pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan aktiviti yang berlangsung, malah berpeluang menyertai dan mencuba sendiri pelbagai demonstrasi serta bengkel yang disediakan.






​Bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam sepanjang tiga hari, kawasan River of Life menempatkan gerai-gerai jualan yang menawarkan pelbagai produk berasaskan kraf, seni dan budaya. Pentas mini turut dihidupkan dengan pelbagai pengisian termasuk Sembang Seni, persembahan buskers, demonstrasi Tarian Zapin, Bengkel Membuat Tanjak, Bengkel Batik, demonstrasi pemakaian Busana Malaysia, Bengkel Kaligrafi dan Seni Khat, persembahan sketsa serta pelbagai aktiviti interaktif untuk pengunjung.




Antara nama yang memeriahkan pentas dan aktiviti di River of Life ialah Ann Abdullah, Kumpulan Teater Hidayah, Kyoji Sky, Siddiq Band, Mie Raja Lawak dan Pak Chu Raja Lawak, dan beberapa lagi penggiat seni dan budaya tempatan.




Konsep di River of Life memberikan peluang kepada pengunjung untuk berada lebih dekat dengan penggiat seni, berinteraksi secara langsung serta merasai sendiri pengalaman menghasilkan atau mencuba seni dan kraf yang dipersembahkan. Pendekatan ini menjadikan Rentak Budaya bukan sekadar acara untuk ditonton, tetapi sebuah pengalaman budaya yang boleh disertai bersama.



​Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, berkata Rentak Budaya diwujudkan sebagai sebuah platform yang menghubungkan artis, penggiat seni dan budaya dengan masyarakat dalam suasana yang lebih santai dan terbuka.

​"Rentak Budaya bukan sekadar pentas persembahan artis. Kita mahu masyarakat datang bersama keluarga, melihat, mencuba dan merasai sendiri kepelbagaian seni serta budaya yang kita miliki. Di River of Life, pengunjung boleh berinteraksi secara lebih dekat dengan penggiat seni, manakala di Padang Merbok kita tampilkan persembahan berskala lebih besar yang menggabungkan artis popular dengan seni kebudayaan.

​"Kita mahu Rentak Budaya menjadi ruang pertemuan antara seni tradisi dengan generasi hari ini. Seni dan budaya perlu terus diraikan, diberi ruang dan diperkenalkan dengan pendekatan yang segar supaya ia kekal dekat di hati masyarakat," katanya.




Dengan pengisian yang berlangsung dari pagi hingga malam, Rentak Budaya 2026 menyasarkan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, golongan muda, peminat seni, pelancong serta pengunjung sekitar Kuala Lumpur.



Tarian persembahan yang mempersonakan dari Artis Budaya DBKL dan Artis Budaya JKKN WPKL.


​Orang ramai turut memeriahkan Rentak Budaya dengan menari beramai-ramai di penghujung acara Rentak Budaya Kuala Lumpur. Lebih menarik lagi pengunjung bersama-sama meraikan kepelbagaian seni, budaya dan warisan Malaysia.