Terkini | New

“UPIN & IPIN UNIVERSE” DILANCARKAN SECARA GLOBAL PADA 17 JULAI DI KONSOL & PC MERAIKAN 20 TAHUN LEGASI LES’COPAQUE PRODUCTION

“UPIN & IPIN UNIVERSE” DILANCARKAN SECARA GLOBAL PADA 17 JULAI DI KONSOL & PC MERAIKAN 20 TAHUN LEGASI LES’COPAQUE PRODUCTION

“Pengembaraan dunia terbuka yang menyentuh hati, diinspirasikan oleh budaya AsiaTenggara dan siri animasi kesayangan ramai.”


Les’ Copaque Production dan Streamline Studios mengumumkan bahawa Upin & Ipin Universe, permainan pengembaraan dunia terbuka yang dinanti-nantikan dan diinspirasikan daripada siri animasi kesayangan Asia Tenggara Upin & Ipin, akan dilancarkan secara rasmi pada 17 Julai. Permainan ini akan tersedia di PC melalui Steam dan Epic Games Store, PlayStation 4 dan 5, serta Nintendo Switch, menandakan satu pencapaian besar bagi francais yang diiktiraf di peringkat global.


Diperkenalkan semasa “Southeast Asia Summer Showcase”, Upin & Ipin Universe telah memukau penonton dengan treler permainan sulung yang penuh warna dan bertenaga. Rakaman tersebut memberikan gambaran awal tentang dunia permainan yang kaya dengan elemen budaya, menggabungkan rasa nostalgia dengan mekanik permainan moden. Sebagai permainan pengembaraan dunia terbuka, ia mengajak pemain untuk meneroka keindahan kehidupan tradisional Asia Tenggara melalui penceritaan interaktif dan pengalaman eksplorasi yang imersif.


Sebagai ikon budaya yang mencerminkan nilai nilai Malaysia, Upin & Ipin telah memainkan peranan penting dalam mengetengahkan penceritaan tempatan dan membina jati diri nasional.



Penglibatan dalam industri permainan digital membuka peluang untuk IP ini berkembang bersama generasi baharu, sambil memperkenalkan keunikan budaya Malaysia ke pentas global. Langkah strategik ini mengukuhkan kedudukan Upin & Ipin sebagai harta intelek kebangsaan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.




Upin & Ipin Universe membuka lembaran baharu daripada TV dan filem ke pengalaman interaktif bertaraf global. Sempena ulang tahun ke-20 Les’ Copaque, pelancaran ini mencerminkan komitmen kami untuk terus berinovasi dan mencipta detik-detik bermakna buat seisi keluarga di seluruh dunia.” kata Haji Burhanuddin Md Radzi, Managing Director of Les’ Copaque Production.


Dibangunkan oleh Streamline Studios, Upin & Ipin Universe ialah permainan dunia terbuka yang menampilkan kempen naratif melebihi 12 jam. Ia dibangunkan untuk menarik minat pemain di peringkat global tanpa mengetepikan akar budayanya. Reka bentuk permainan ini menonjolkan elemen budaya Asia Tenggara, menjadikannya sebuah pengembaraan mesra keluarga yang sarat dengan nilai budaya. Upin & Ipin Universe akan diperkenalkan buat julung kalinya di Japan Expo di Paris, hari ini.



“Upin & Ipin Universe bukan sekadar sebuah permainan; ia adalah surat cinta kepada budaya dan tradisi Asia Tenggara yang penuh warna dan kehidupan." kata Alexander Fernandez, CEO of Streamline Media Group.

“Sejak memulakan operasi di Malaysia pada tahun 2010, kami telah membantu perkembangan industri tempatan menjadi sebuah ekosistem yang semakin pesat membangun. Malaysia kini muncul sebagai kuasa kreatif dalam animasi, pembangunan permainan, dan penceritaan interaktif. Upin & Ipin Universe adalah bukti bahawa kisah yang lahir dari Malaysia bukan sahaja mendapat tempat di tanah air, tetapi turut menyentuh hati di seluruh dunia.”



Dengan gabungan unik antara permainan yang menghiburkan, tema yang dekat dengan budaya, dan pesona ikonik Upin & Ipin, permainan ini bersedia untuk mencipta impak besar dalam genre pengembaraan dunia terbuka. Streamline Studios komited untuk menyampaikan pengalaman berkualiti tinggi yang mampu menarik minat pemain dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang.



Tandakan kalendar anda pada 17 Julai ini dan bersiap sedia untuk menyertai pengembaraan hebat dalam Upin & Ipin Universe!

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web dan media sosial:

Official website: upinipinuniverse.com
Instagram:
YouTube: