Penyalahgunaan Nama Dan Jenama Yang Terkait Dengan “xpdc” Oleh Pihak Tertentu
Penyalahgunaan Nama Dan Jenama Yang Terkait Dengan “xpdc” Oleh Pihak Tertentu

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) ingin menyatakan pendirian tegas berhubung isu penyalahgunaan nama dan jenama “XPDC” oleh pihak- pihak tertentu yang tidak memiliki sebarang kebenaran rasmi, namun tetap menggunakan nama tersebut dalam konteks promosi, persembahan terbuka dan penampilan komersial. Tindakan ini telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat serta penganjur acara, dan berpotensi merosakkan integriti industri muzik tempatan.
Nama dan logo “XPDC” merupakan tanda dagangan berdaftar milik eksklusif Life Records, yang dilindungi sepenuhnya di bawah peruntukan akta cap dagangan . Jenama ini mempunyai nilai komersial yang signifikan dan
reputasi yang telah dibina sejak awal 1990-an, menjadikannya salah satu kumpulan rock paling berpengaruh dalam sejarah muzik tanah air.

Setakat ini, hanya dua entiti telah diberi kebenaran rasmi dan bertulis untuk menggunakan nama “XPDC”, iaitu kumpulan XPDC (Kita Pengyu) dan XPDC (Militia) – kedua-duanya terdiri daripada barisan anggota asal yang bernaung secara sah di bawah Life Records.
Walau bagaimanapun, KARYAWAN telah dimaklumkan mengenai kewujudan sebuah kumpulan yang memperkenalkan diri sebagai “Real XPDC”, yang secara aktif membuat persembahan, mempromosikan konsert, serta menggunakan nama “XPDC” dalam pelbagai bahan promosi tanpa kebenaran atau pengesahan rasmi daripada pemilik hak.
Meskipun mereka menggunakan istilah “Real” sebagai pengubah suai, hakikatnya nama “XPDC” masih digunakan secara utama – menyebabkan kekeliruan awam dan berpotensi menimbulkan tanggapan salah seolah-olah mereka mewakili kumpulan asal.
Dari sudut perundangan, tindakan ini boleh dianggap sebagai satu pelanggaran hak cap dagangan dan tindakan undang-undang boleh diambil. KARYAWAN tidak menolak kewujudan kumpulan tribute sebagai suatu bentuk penghargaan dalam dunia seni. Namun, ia mestilah dilaksanakan secara bertanggungjawab, beretika, dan tidak mengelirukan masyarakat. Sekiranya benar niatnya adalah untuk memberi penghormatan, maka penggunaan nama alternatif yang tidak membawa kekeliruan serta hubungan baik dengan kumpulan asal mestilah dijadikan asas moral dan profesional.
KARYAWAN akan merujuk perkara ini kepada pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKK) untuk menyemak sekiranya nama “Real XPDC” telah didaftarkan secara tidak wajar atau dalam kelas yang menimbulkan pertindihan. Sekiranya terdapat pelanggaran yang jelas terhadap hak cap dagangan, tindakan sewajarnya akan disokong dan diambil.
Kami menyeru kepada semua penggiat seni, penganjur dan peminat agar terus menghormati hak intelektual, legasi seni dan prinsip perundangan yang menjadi asas kepada kestabilan industri muzik dan hiburan negara.