Fan Bingbing Teruja Sedia Promosi Pelancongan Melaka
Fan Bingbing Teruja Sedia Promosi Pelancongan Melaka

Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, Datuk Fan Bingbing terus membantu mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan antarabangsa selepas menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk.

Pelakon berusia 43 tahun, yang popular menerusi filem X-Men Days of Future Past menerima anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.




Pada majlis penuh istiadat itu, Bingbing yang juga Duta Pelancongan Melaka 2024 tampil menawan dengan menyarungkan busana eksklusif hasil sentuhan pereka fesyen Malaysia, Melinda Looi.
“Satu set baju kurung tempahan eksklusif menggunakan renda Perancis, sulaman, perincian manik serta hiasan Swarovski. Direka dalam rona hijau pudina lembut yang dipilih sendiri oleh Datuk Fan Bingbing,” tulis Melinda.


Manakala busana yang digayakan Fan Bingbing pada majlis makan malam turut mencuri perhatian apabila menyarungkan busana rekaan Fiziwoo.
“Satu malam penuh sejarah, keanggunan dan seni. Ikon antarabangsa Fan Bingbing memeriahkan Majlis Santapan Negeri di Melaka sempena penganugerahan Datuknya dengan menyarungkan busana Fiziwoo, baju kurung moden Melayu dalam fabrik satin sutera lembayung lembut.” kongsi Fiziwoo di laman instagram miliknya.

Selebriti terkenal China itu turut menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai satu penghormatan besar dan berharap membawa lebih banyak kisah baik untuk Melaka.